Thursday, January 16, 2014

Koo-Tan Tersingkir, Chong Wei Mara Ke Pusingan Kedua Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Beregu utama negara Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong tersingkir manakala juara bertahan Datuk Lee Chong Wei berjaya melepasi pusingan pertama Kejohanan Terbuka Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil di sini Rabu.

Gandingan Kien Keat/Boon Heong ditunjukkan jalan keluar oleh beregu bukan pilihan China, Chai Biao/Hong dalam straight set 21-17 dan 21-14 dalam pertarungan selama 36 minit.

Pemain nombor satu dunia, Chong Wei membuka kempen memburu gelaran ke-10 Terbuka Malaysia apabila menjinakkan pemain Denmark Hans-Kristian Vittinghus 21-7 dan 21-13 dalam perlawanan selama 35 minit.

Chong Wei akan menentang pemain China Wang Zheming pada pusingan kedua Khamis.

Bagaimanapun, penantian kemnculan Kien Keat/Boon Heong selepas hampir sebulan setengah daripada pentas dunia, menghampakan apabila beregu itu menampilkan prestasi paling buruk.

Kien Keat mengakui beliau terlalu kecewa dengan prestasinya dan menyifatkan kekalahan itu berpunca daripada kesalahan mereka sendiri.

"Hari ini adalah perlawanan pertama selepas tidak menyertai mana-mana kejohanan hampir sebulan setengah. Terus terang tiada lagi alasan, memang kami bersalah, lagi banyak saya bercakap, lebih banyak pandangan lain terhadap saya.

Bagi Boon Heong, beliau masih mengharapkan gandingannya bersama Kien Keat dapat diselamatkan dan relevan untuk terus memberikan sesuatu buat negara.

"Jika masih ada keinginan mahu bermain dan ada sasaran, saya rasa kami perlu bekerja lebih bersungguh-sungguh lagi dalam latihan," katanya.

Dua lagi perseorangan lelaki negara Liew Daren dan Chong Wei Feng turut terkandas pada pusingan pertama.

Sementara itu, satu lagi beregu lelaki negara Goh V Shem dan Lim Khim Wah membuat kejutan apabila menewaskan beregu nombor tiga dunia Mathias Boe/Carsten Mogensen dari Denmark dengan 24- 22, 17-21 dan 21-18.

"Minggu lepas kita kalah dengan mereka (Terbuka Korea), memang kami kaji permainan mereka, cuma selepas ini kami perlu lebih yakin untuk berjumpa dengan beregu yang lebih hebat dalam perlawanan akan datang," kata Kim Wah.

V Shem/Khim Wah dijadualkan bertemu Maneepong Jongjit/Nipitphon Puangpuapech dari Thailand pada pusingan kedua Khamis.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment