Wednesday, January 15, 2014

Kontinjen Sukan Para Asean Myanmar sasar 50 pingat emas

Nay Pyi Taw: Sasaran 50 pingat emas pada edisi ketujuh Sukan Para Asean Myanmar mampu direalisasikan atlet negara, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan.
“Berdasarkan persiapan yang telah mereka jalani, saya yakin sasaran 50 pingat emas itu mampu dicapai walaupun terdapat kekangan.

“Saya lihat atlet-atlet kita begitu bersemangat kerana mereka ke sini untuk mengharumkan nama negara,” katanya selepas melakukan kunjungan ke Perkampungan Atlet Sukan Para Asean Myanmar, semalam.

Beliau meluangkan masa hampir sejam di situ untuk beramah mesra dengan semua atlet negara dan meninjau kemudahan penginapan atlet.

Saravanan tiba semalam untuk menghadiri majlis pembukaan rasmi temasya Sukan Para Asean ketujuh di Stadium Wunna Theikdi.

Selepas klasifikasi atlet dijalankan sebelum ini, beberapa kategori kecacatan dalam acara sukan terpaksa digabungkan dan antara sukan yang terlibat adalah acara olahraga.

“Saya melihat ini bukanlah satu halangan kepada atlet kita untuk memberikan saingan yang sewajarnya.

Ini lebih baik daripada acara sukan itu tidak dipertandingkan langsung dan semestinya atlet akan lebih kecewa,” katanya.

Katanya, pencapaian atlet di sini akan menjadi penanda aras ke arah menyediakan lebih ramai atlet bertaraf antarabangsa dalam masa 10 tahun akan datang.

Mengenai keadaan atlet di perkampungan sukan itu, Saravanan berkata, mereka tidak menghadapi masalah kerana pihak penganjur, Jawatankuasa Penganjur Sukan Para Asean Naypyitaw (NAPGOC), sudah menyediakan kemudahan yang baik dan selesa.

Temasya sukan dwitahunan untuk atlet kelainan upaya di rantau Asia Tenggara ini melibatkan 12 jenis sukan iaitu olahraga, renang, memanah, powerlifting, boccia, goalball, catur, ping-pong, bola keranjang berkerusi roda, bola sepak lima sebelah (buta), bola sepak tujuh sebelah (cerebral palsy) dan bola tampar duduk.

Harapan negara terletak di bahu 151 atlet yang akan mengambil bahagian membabitkan 11 daripada 12 jenis sukan dipertandingkan.

Malaysia tidak mengambil bahagian dalam acara bola tampar duduk.


- BERNAMA

No comments:

Post a Comment