Wednesday, January 08, 2014

Kim Swee sah kendali skuad Harimau Malaya

Kelana Jaya: Datuk Ong Kim Swee mengesahkan beliau akan membimbing Harimau Malaya sementara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mencari pengganti baru.
Persetujuan itu dicapai selepas pengendali berusia 43 tahun itu mengadakan perbincangan mengenai kontrak baru dengan Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin semalam.

Kim Swee berkata, tugas utama beliau tetap sebagai jurulatih Harimau Muda A, namun pada masa yang sama akan mengendalikan skuad kebangsaan selepas kontrak ketua jurulatih Datuk K Rajagobal tidak disambung pada 31 Disember lalu.

“Saya mengadakan pertemuan dengan Datuk Hamidin hari ini (semalam) dan saya dimaklumkan mengenai tugas yang bakal saya pikul selepas ini. Saya akan mengendalikan skuad kebangsaan buat sementara dan jika FAM tidak melantik lagi jurulatih baru, saya akan mengendalikan skuad kebangsaan bagi perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Yaman, Mac ini.

“Tapi tugas utama saya ialah membimbing skuad Harimau Muda A serta memantau Harimau Muda B dan C,” katanya ketika ditemui semalam.

Ketika ditanya mengenai kontrak baru yang bakal ditandatangani itu, Kim Swe berkata: “Saya tidak letak syarat dan berapa lama tempoh kontrak itu saya tidak tahu buat masa ini, itu anda perlu tanya Datuk Hamidin.

FotoDatuk Ong Kim Swee
Kim Swee berkata, beliau akan mula memantau prestasi pemain kebangsaan dalam Liga Malaysia sebaik saingan bermula 17 Januari ini.

Skuad Harimau Muda A akan beraksi dalam Liga NPL di Australia pada Mac hingga Ogos ini, manakala Harimau Muda B ke Liga Singapura dan Harimau Muda C beraksi dalam Liga FAM.



Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment