Wednesday, January 22, 2014

Khairy Teliti Cadangan Pelumba Lebuh Raya Sebelum Ambil Tindakan Susulan

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata beliau akan meneliti segala masalah serta cadangan yang diluahkan oleh barisan pelumba berbasikal lebuh raya negara sebelum dapat mengambil tindakan susulan.

Khairy berkata beliau tidak boleh sewenang-wenangnya membuat keputusan segera hasil daripada perjumpaan tertutup bersama pelumba berkenaan, hari ini tanpa mendapatkan pandangan daripada beberapa pihak yang lain termasuk Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

"Hasil perjumpaan yang berlangsung pagi tadi, ada sebahagian daripada mereka yang merupakan pelumba profesional telah meluahkan pandangan serta cadangan bagaimana untuk meningkatkan (kualiti) program acara lebuh raya negara.

"Jadi, saya maklumkan kepada mereka bahawa perkara berkenaan akan dibincangkan bersama wakil PKBM dan pelumba lebuh raya negara pada satu forum khas (nanti)," katanya.

Khairy berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan penajaan untuk Kejohanan Ragbi Premier Tujuh Sebelah Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), di sini, Selasa.

Khairy bagaimanapun berkata, beliau perlu memberikan tumpuan terlebih dahulu kepada audit akaun PKBM yang menerima peruntukan tahunan sebanyak RM1.5 juta daripada pihak kementerian memandangkan ia merupakan antara Penunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan sebelum ini.

"KPI ini penting kerana duit berkenaan (RM1.5 juta) datangnya daripada pihak kementerian.

"Sekiranya kita gagal mencapai KPI tersebut, maka saya tidak boleh membuat keputusan sama ada kita akan teruskan program lebuh raya dengan PKBM atau bersama Majlis Sukan Negara (selepas ini)," katanya.

Dalam pada itu, Khairy melahirkan keyakinan dengan kemampuan pengendali baharu skuad hoki senior kebangsaan, Muhammad Dharma Raj Abdullah untuk melakar lebih banyak kejayaan selepas berjaya membawa skuad remaja negara meraih tempat keempat pada Kejohanan Dunia di India, tahun lepas.

Dharma Raj, yang merupakan penolong jurulatih kepada Paul Revington, dilantik ke jawatan berkenaan selepas pengendali kelahiran Afrika Selatan itu meletak jawatan.

-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment