Friday, January 24, 2014

Khairy Ada 'Kuasa' Campuri Urusan Persatuan Sukan Kebangsaan - Zolkples

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Sikap keterbukaan Khairy Jamaluddin yang sedia berjumpa dengan setiap penggiat sukan tempatan memperlihatkan betapa menteri belia dan sukan itu serius untuk melihat kemajuan sukan tanah air.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berkata pertemuan Khairy dengan mana-mana badan sukan atau tindakan mencampuri urusan badan induk sukan tempatan tidak wajar dijadikan isu.

Ini kerana katanya seseorang menteri mempunyai kuasa berbuat demikian seperti mana termaktub dalam Akta Pembangunan Sukan bagi memastikan pembangunan sukan negara berada di landasan yang betul.

"Beliau prihatin dengan segala masalah yang dihadapi (persatuan sukan) dan sebagai menteri, beliau mempunyai kuasa memastikan segala program dan aktiviti berkaitan pembangunan sukan negara.

"Sekiranya terdapat sebarang masalah harus ditangani dengan sebaiknya supaya segala yang dirancang dapat dilaksanakan dan tidak mendatangkan masalah," katanya kepada pemberita selepas majlis perarakan sambutan Maulidur Rasul di sekitar Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil di sini Khamis.

Zolkples ditanya mengenai perjumpaan tertutup Khairy dengan pelumba basikal profesional kebangsaan baru-baru ini, bagi meluahkan pandangan serta cadangan untuk meningkatkan kualiti program acara lebuh raya negara.

Sebelum itu, Khairy dipetik sebagai berkata bahawa beliau akan mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bagi membincangkan hala tuju sukan sepak takraw negara selepas aksi longlai pada Sukan SEA di Myanmar, Disember lepas.

Mengulas lanjut, Zolkples, bagaimanapun berkata seboleh-bolehnya, setiap persatuan sukan wajar menyelesaikan sendiri masalah dalaman masing-masing.

"Tetapi kalau sudah sampai ke satu tahap tiada penyelesaian, jadi tidak ada masalah (bertemu dengan menteri)," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment