Thursday, January 16, 2014

Kecederaan Lutut Tidak Halang Beregu Campuran Negara Mara Ke Pusingan Kedua

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Kecederaan lutut tidak menghalang Goh Liu Ying untuk membantu pasangannya Chan Peng Soon menempah slot pusingan kedua acara beregu campuran pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2014.

Pada pusingan pertama di Stadium Putra Bukit Jalil di sini hari ini, beregu campuran negara itu terpaksa bertarung selama sejam sebelum menyingkirkan gandingan Indonesia, Muhammad Rijal/Vita Marrissa 23-21, 17-21 dan 21-10.

Peng Soon/Liu Ying sekali lagi akan berdepan dengan gandingan Indonesia Praveen Jordan/Debby Susanto pada pusingan kedua selepas pasangan Indonesia itu mengetepikan wakil negara Tan Aik Quan/Lai Pei Jing 21-14 dan 21-13.

"Saya masih berasa lemah dan hari ini kami bermain dengan strategi baharu untuk mengurangkan kesakitan lutut saya. Walaupun masih sakit, saya tetap mahu meneruskan saingan Terbuka Malaysia ini.

"Perlawanan hari ini sangat sengit, Saya perlu mengatasi masalah kelemahan saya (kecederaan) dan fokus untuk menang," kata Liu Ying selepas perlawanan itu.

Liu Ying, 24, mengalami masalah kecederaan miniscus lutut kanan dan tisu koyak pada Anterior Cruciate Ligament (ACL) di kedua-dua belah lututnya.

Sementara itu, Peng Soon menyifat perlawanan pembukaan itu sukar kerana beliau terlalu bimbang memikirkan keadaan Liu Ying yang menyebabkan mereka mengambil masa lama untuk menewaskan beregu dari Indonesia itu.

"Set pertama dan kedua saya terlalu fikirkan keadaan Liu Ying, kesakitan dia tetapi selepas terikat pada set kedua, jurulatih menasihatkan saya agar tidak memikirkannya dan bermain seperti biasa," katanya.

Sementara itu, turut mara ke pusingan kedua ialah satu lagi beregu campuran negara iaitu Ong Jian Guo/Lim Yin Loo yang mengalahkan Phillip Chew/Jamie Subandhi dari Amerika Syarikat dengan 25-23 dan 21-12.

Jian Guo/Yin Loo akan bertemu Sudket Prapakamol/Saralee Thoungthongkam dari Thailand pada perlawanan pusingan kedua esok.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment