Tuesday, January 07, 2014

Josiah tak sabar mula berkayuh


Kuala Lumpur: Episod kemalangan yang menimpa pelumba trek negara, Josiah Ng Disember lalu langsung tidak memberi kesan fobia buat pelumba Sarawak itu dan dia kini sudah tidak sabar untuk kembali berlatih.

Lima minggu berehat sudah cukup buat pelumba itu bangkit kembali dan menjalani latihan ringan kerana dia tidak mahu terlepas aksi mempertahankan pingat di Sukan Komanwel selain beraksi di Sukan Asia. Dia yang kini berada di Los Angeles, Amerika Syarikat sudah tidak sabar untuk kembali ke pangkalan pusat latihan skuad berbasikal negara di Melbourne untuk menyambung semula misinya membuat persediaan menghadapi Sukan Komanwel. “Keadaan badan saya sudah pulih dan bersedia untuk menjalani latihan. Sudah tiga hari saya menjalani latihan di atas jalan raya tanpa sebarang masalah. “Tulang selangka dan tulang rusuk sudah pulih sepenuhnya. Kini saya hanya menunggu masa sesuai untuk kembali pulang ke Melbourne dan menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi Sukan Komanwel,” katanya. Jaguh trek negara itu mengalami kemalangan ngeri ketika beraksi di Piala Trek Dunia di Aguascalientes, Mexico, bulan lalu.

Josiah yang mengalami patah tulang selangka dan tulang rusuk dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital CMQ MAC berhampiran Aguascalientes selepas mengalami kemalangan semasa saringan kedua acara keirin hingga menyebabkan dia tidak sedarkan diri.

Insiden itu yang ketiga buat pemenang pingat emas Sukan Komanwel New Delhi 2010 itu dan menaruh harapan tinggi agar kejadian itu tidak berulang pada usianya yang kini meniti angka 33.

Josiah menegaskan kemalangan itu tidak pernah melunturkan semangatnya untuk beraksi dan dia tidak pernah langsung memikirkan untuk bersara daripada arena berbasikal negara dan menetapkan untuk terus beraksi di Sukan Olimpik Rio pada 2016.

FotoJOSIAH (kiri) mahu pertahan pingat Sukan Komanwel.



Oleh Aida Adilah Mat, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment