Wednesday, January 08, 2014

‘Janji bantu skuad negara raih kejuaraan’


Kuantan: Muhammad Dharma Raj berterima kasih kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang diterajui Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah kerana menyerapkannya dalam skuad senior negara.
Menurutnya, kepercayaan diberikan badan induk sukan hoki itu akan dilaksanakan sebaik mungkin terutama bagi membantu skuad negara mencatat kejayaan bermakna tahun ini.

“Saya menerima tugas baru ini dengan perasaan gembira dan sedia bekerjasama untuk membentuk skuad senior yang lebih mantap. Saya amat mengenali pemain remaja selepas lebih empat tahun bersama mereka dan sudah pasti pengalaman ini akan membantu Revington memiliki skuad berkualiti,” katanya.

Sebelum ini Dharma Raj menyatakan kesediaan untuk ke skuad senior selepas sekian lama mengendalikan skuad junior.

Bagaimanapun, beliau akan menghormati segala keputusan yang akan dibuat pengurusan tertinggi atau mengekalkan khidmatnya sebagai jurulatih skuad remaja.

Sementara itu, Revington berbangga dapat bekerjasama dengan Muhammad Dharma yang berjaya meraih kejayaan ketika mengendalikan skuad remaja hingga muncul juara Piala Remaja Asia di Melaka pada 2012 dan tempat keempat Piala Dunia Remaja tahun lalu.
“Selepas melahirkan satu generasi pemain remaja berbakat, saya percaya pemain bimbingan Dharma akan menjadi pemain yang lebih berkaliber dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.


Oleh Asrol Awang  - Arena Harian Metro

No comments:

Post a Comment