Monday, January 20, 2014

'Jangan besar kepala'

KUALA LUMPUR - Jurulatih beregu lelaki, Pang Cheh Chang menasihatkan Goh V Shem-Lim Khim Wah supaya tidak mendabik dada dan mula berasa selesa setelah berjaya mengukir nama dalam Kejohanan Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2014 semalam.

Katanya, kejayaan sulung itu sebenarnya bukanlah suatu jalan pengakhiran, tetapi merupakan satu permulaan baharu buat gandingan itu.

Meskipun gembira dengan kejayaan anak-anak buahnya menundukkan beregu China, Chai Biao-Wei Hong 21-19, 21-18 dalam perlawanan akhir semalam, Cheh Chang tetap bimbang terhadap prestasi masa hadapan beregu tersebut.

"Saya harap, dengan kemenangan mereka sekarang, jangan ada rasa atau berfikiran seperti 'saya sudah puas' sebab memang anda sudah menang, tapi pihak lawan akan lebih bersedia.
"Seperti biasa, China akan mengkaji permainan kita semula dan mereka akan bersungguh-sungguh untuk memintas kembali permainan. Maka lupakan kemenangan ini. Kita mesti terus berlatih dan perwatakan perlu dikekalkan.

"Semua ini saya telah bincangkan bersama mereka. Saya harap perlawanan seterusnya untuk pasukan ke Piala Thomas tahun ini mesti berfikiran sedemikian. Jangan sebab hanya satu kemenangan kita sudah berasa selesa. Jangan keras kepala kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), jurulatih mahu pun kepada pemain lain.

"Ini kerana, apa yang BAM lakukan adalah demi kebaikan negara mahu pun pemain itu sendiri. Banyak faedah kita dapat. Tapi yang paling penting mereka dapat belajar dan kalau ada buat silap, perlu berfikiran positif dan menerima semua ini dengan hati terbuka," katanya ketika ditemui di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

Dalam masa sama, Cheh Chang meluahkan rasa terhutang budi kepada para penyokong yang telah menyuntik semangat kepada V Shem-Khim Wah untuk sentiasa bangkit dalam perlawanan akhir semalam.

No comments:

Post a Comment