Monday, January 06, 2014

Hoki hala serampang dua mata

KUALA LUMPUR - Aksi pusingan akhir hoki Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda pada 31 Mei ini nampaknya bukan tumpuan utama buat skuad hoki kebangsaan berikutan ada lagi saingan lebih penting yang perlu diberikan keutamaan.

Naib Presiden Kanan, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, pada tahun ini skuad kebangsaan mempunyai misi lebih besar berusaha menjuarai acara hoki Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan yang akan berlangsung pada 19 September hingga 4 Oktober ini untuk mendapatkan slot automatik ke Sukan Olimpik 2016.

Kata Nur Azmi, sungguhpun MHC meletakkan tumpuan kepada Sukan Asia namun itu tidak bermakna Malaysia akan mempamerkan aksi hambar pada Piala Dunia 2014.

"Skuad kebangsaan akan berusaha mempamerkan aksi terbaik pada Piala Dunia nanti dan sasaran kami adalah lapan terbaik kerana sedar banyak pasukan hebat beraksi pada kejohanan tersebut.

"Kami terpaksa meletakkan kepentingan ke atas Sukan Asia kerana Malaysia sudah lama tidak beraksi pada Sukan Olimpik dan ini adalah salah satu cara yang wajar dimanfaatkan dengan baik oleh skuad kebangsaan iaitu berusaha mendapatkan pingat emas pada temasya tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Sukan Asia 2014 adalah salah satu daripada dua cara bagi membolehkan skuad hoki kebangsaan meraih tempat pada Sukan Olimpik 2016 di Brazil selain menerusi saingan Liga Hoki Dunia yang dijadual bermula Januari 2015.

Kali terakhir Malaysia beraksi pada Sukan Olimpik ialah pada 2000 di Sydney, Australia.
Pada Sukan Asia 2010 Malaysia gagal meraih slot automatik ke Sukan Olimpik London 2012 selepas kecundang kepada Pakistan pada perlawanan akhir.

Sementara itu, Nur Azmi turut memberitahu pada tahun ini skuad kebangsaan akan memiliki kumpulan pemain yang lebih besar iaitu seramai 35 pemain.

Kata Nur Azmi, semua 35 pemain tersebut adalah campuran pemain senior dan remaja yang mempunyai tahap kecergasan terbaik.

"Jurulatih (Paul Revington) akan mempunyai banyak pilihan pemain selain tidak perlu bimbang dengan masalah kecederaan.

"Jumlah pemain yang ramai ini untuk memastikan skuad kebangsaan dapat menghadapi semua saingan sepanjang tahun ini tanpa masalah besar," kata Nur Azmi.

No comments:

Post a Comment