Monday, January 20, 2014

Gantung raket


Kuala Lumpur: Datuk Lee Chong Wei memenangi gelaran Siri Super Premier Terbuka Malaysia buat kali ke-10 semalam, tetapi pemain nombor satu dunia itu juga memberi perkhabaran yang menyedihkan untuk seluruh rakyat Malaysia apabila mengumumkan tahun ini mungkin adalah tahun terakhirnya beraksi sebelum menamatkan karier gemilangnya.
Semalam, Chong Wei yang begitu mahukan gelaran ke-10, tenang menewaskan Tommy Sugiarto dari Indonesia 21-19,21-9 sebelum terus duduk menahan sebak di penjuru gelanggang dengan kejayaan terbarunya itu.

Hasil kemenangan itu dia meraih hadiah kemenangan AS$37,500 (RM123,637).

Pada sidang media selepas itu, Chong Wei mengumumkan semalam adalah penampilan terakhirnya pada Terbuka Malaysia sebelum mendedahkan keputusannya untuk bersara sebaik berakhir Disember depan bergantung kepada tahap kecergasannya.

“Saya tidak pernah rasa tekanan yang begitu hebat untuk memenangi satu-satu kejohanan seperti hari ini.

“Mungkin ini adalah penampilan terakhir saya pada Terbuka Malaysia. Selepas Sukan Asia saya tidak pasti sama ada akan terus bermain.
“Segala-galanya bergantung kepada keadaan kecergasan saya. Jika bebas daripada sebarang kecederaan, mungkin saya akan terus beraksi.

“Jika tidak, saya akan menamatkan karier pada hujung tahun ini,” katanya.
Chong Wei menegaskan bukan mudah untuknya memenangi gelaran Terbuka Malaysia untuk kali ke-10, apatah lagi kali ini komitmennya sebagai suami serta bapa kepada Wong Mei Choo dan Kingston Lee.

Dia juga mendedahkan keputusannya untuk memikirkan tentang persaraan kerana masalah peribadi, namun jaguh perseorangan negara itu tidak menghuraikannya lebih lanjut.

“Sekarang saya pun sudah ada keluarga. Isteri saya mungkin memahami kerana dia juga bekas atlet. Tapi satu masa nanti saya kena bersara juga,” katanya.



Oleh Saiful Affendy Sapran, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment