Tuesday, January 21, 2014

Dharma Raj Ganti Revington Sebagai Ketua Jurulatih Skuad Senior

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Penolong jurulatih Muhammad Dharma Raj Abdullah Isnin dilantik sebagai ketua jurulatih skuad hoki senior negara menggantikan Paul Revington yang telah meletak jawatan, Jumaat lepas.

Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Nur Azmi Ahmad berkata pelantikan Dharma Raj itu telah dipersetujui oleh Presiden MHC Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mengadakan pertemuan dengan Revington dan barisan kejurulatihan skuad hoki negara, semalam.

"Kita sudah menerima keputusan Revington meletak jawatan," katanya.

Nur Azmi berkata dua bekas pemain negara K. Gobinathan dan Nor Azlan Bakar akan membantu Dharma Raj manakala pembantu Revington, Arul Selvaraj dilantik sebagai ketua jurulatih skuad remaja kebangsaan.

Beliau berkata Dharma Raj dilantik membimbing skuad senior memandangkan kesuntukan masa untuk MHC mencari jurulatih asing bagi mempersiapkan pasukan negara menghadapi Kejohanan Piala Sultan Azlan di Ipoh, Perak, Mac ini.

Revington, yang hadir pada sidang media tersebut, mendakwa belau mengalami masalah kesihatan berkaitan tekanan sejak mula membimbing skuad senior pada Jun, tahun lepas.

"Seseorang yang mengalami masalah ini boleh mengatasinya dengan berehat untuk beberapa hari tetapi saya tidak dalam keadaan seperti itu.

"Saya perlu mengendalikan 45 orang yang memerlukan kepimpinan saya setiap hari dan ini tidak memberi saya peluang menikmati cuti banyak hari untuk pulih semula," kata jurulatih kelahiran Afrika Selatan itu.

Revington bagaimanapun menjelaskan beliau berharap untuk membimbing skuad remaja negara pada masa depan, sambil menaruh keyakinan terhadap Darma Raj untuk meneruskan usaha cemerlangnya dengan skuad senior.

Dalam pada itu, Dharma Raj, yang membawa skuad remaja negara meraih tempat keempat pada Kejohanan Remaja Dunia di India, Disember lepas, berjanji untuk membantu skuad senior mencapai sasaran yang ditetapkan oleh MHC pada tahun ini.

"Saya bagaimanapun perlu berjumpa dengan pemain skuad senior terlebih dahulu sebelum melaksanakan perancangan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan oleh pihak pengurusan," katanya.

Revington sebelum ini pernah melepaskan jawatan yang disandangnya selepas mendakwa Dharma Raj dan Pengarah Program Hoki 1MAS, Lim Chiow Chuan mencampuri hal ehwal skuad senior kebangsaan.

Kemelut berkenaan bagaimanapun selesai selepas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengadakan perjumpaan dengan Revington tahun lepas.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment