Tuesday, January 07, 2014

Cuaca sejuk cabaran terbesar Chong Wei

KUALA LUMPUR - Jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei bakal berdepan cabaran hebat dalam kejohanan badminton Terbuka Korea sejak pusingan awal, namun baginya tiada yang lebih menyukarkan daripada terpaksa beraksi dalam cuaca sejuk.

Kejohanan itu bermula hari ini, dengan cuaca di Seoul kini boleh mencecah hingga 6 darjah Celsius di bawah paras beku, katanya.

Malah, menurutnya, suhu akan turun dengan mendadak pada sebelah malam, iaitu waktu di mana kebanyakan perlawanan melibatkan pemain utama dunia sedang berlangsung.

Chong Wei, 31, yang memburu kejuaraan keempat di Seoul akan memulakan kempen dengan menentang pemain tuan rumah, Son Wan Ho dalam pusingan pembukaan esok.

Jika mara ke pusingan kedua, bekas juara remaja dunia dari Denmark, Viktor Axelsen atau bintang Jerman, Marc Zwiebler bakal menanti, manakala bintang muda China dan pilihan ketujuh, Du Pengyu calon menunggu di suku akhir.

“Mengenai lawan yang bakal ditentang, saya anggap cabaran biasa dan saya akan berdepan mereka satu demi satu tanpa sebarang tekanan.

“Saya hanya mahu menikmati kejohanan ini, apatah lagi ini pertandingan pertama saya pada tahun baharu, jadi saya tidak perlu memberi tekanan kepada diri sendiri.

“Namun apa yang mencabar mungkin keadaan cuaca di sini yang sangat sejuk. Sekarang ini (kira-kira pukul 6 petang waktu Seoul) cuaca sudah mencecah hingga 6 darjah di bawah takat beku dan mampu jatuh dengan lebih drastik pada sebelah malam.

“Suka atau tidak saya kena menghadapi semua itu. Jadi saya akan cuba menikmati cuaca sejuk di sini. Sejuk-sejuk begini, kalau tidur memang lena," kata Chong Wei ketika dihubungi di Seoul, semalam.
Chong Wei, yang merupakan juara 2010, 2012 dan 2013 mampu melakar sejarah muncul pemain perseorangan paling banyak membawa pulang kejuaraan Terbuka Korea jika berjaya mempertahankan gelaran kali ini.

Dia kini berkongsi rekod tiga kejuaraan bersama musuh tradisi dari China, Lin Dan yang muncul juara pada 2002, 2007 dan 2011.

Namun, gandingan Korea Selatan, Kim Dong-moon-Ra Kyung-min memegang rekod pemenang terbanyak keseluruhan apabila menguasai acara beregu campuran selama enam tahun berturut-turut dari 1999 hingga 2004.

Pemain No. 2 dunia, Chen Long dari China dijangka menjadi pencabar utama Chong Wei untuk mempertahankan kejuaraan pada kejohanan Siri Super termahal dunia itu, yang menawarkan hadiah lumayan AS$600,000 (RM1.97 juta).
 
Oleh Norzie Mohd. Khasbi
norzie.khasbi@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment