Monday, January 20, 2014

Chong Wei Mungkin Akan Gantung Raket Penghujung Disember Ini

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei mungkin akan 'menggantung raket' untuk bersara dalam sukan badminton pada penghujung Disember ini sekiranya prestasinya tidak berada pada tahap terbaik.

Jaguh badminton negara itu berkata faktor kepenatan dan masalah peribadi menjadi punca utama yang mendorong beliau menyuarakan hasrat untuk bersara pada tahun ini.

"Sampai satu masa saya kena berundur juga, saya harap Liew Daren dan Chong Wei Feng (pemain perseorangan lelaki negara) boleh menggantikan saya, mereka perlu memberikan prestasi yang terbaik pada tahun ini.

"Selepas Sukan Asia di Incheon (19 Sept-4 Okt) dan Sukan Komanwel di Scotland (23 Julai-3 Ogos) saya masih tidak tahu sama ada mahu meneruskan karier dalam badminton, kalau kondisi saya tidak baik mungkin saya mahu bersara pada Disember.

"Sekiranya prestasi bagus dan 'bebas daripada kecederaan', mungkin saya akan terus bermain lagi, jika tidak, saya mahu bersara dalam karier badminton tahun ini," katanya kepada pemberita selepas meraih kejuaraan kesepuluh pada Kejohanan Terbuka Siri Super Malaysia 2014 di Stadium Putra Bukit Jalil, Ahad.

Chong Wei, 31 berkata beliau berasa sangat lega kerana impian untuk mencipta rekod kejuaraan kali kesepuluh pada Terbuka Siri Super Malaysia 2014 akhirnya tercapai.

"Isteri dan keluarga tahu tekanan saya untuk memenangi Kejohanan Terbuka Siri Super Malaysia kali ini. Selepas menang tadi saya dapat merasakan satu beban hilang.

"Saya juga banyak masalah peribadi tetapi saya akan buat yang terbaik pada Sukan Asia dan Sukan Komanwel sebab tahun ini banyak kejohanan penting. Saya juga akan cuba untuk beraksi sehingga Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016 di Brazil jika keadaan mengizinkan," kata Chong Wei yang juga mahu memberi tumpuan kepada keluarga.

"Saya juga sudah berkeluarga dan sering meninggalkan mereka dalam beberapa bulan untuk memberikan tumpuan kepada kejohanan...tetapi isteri saya faham (Datin Wong Mew Choo) kerjaya saya," katanya.

Chong Wei dan Mew Choo mempunyai seorang anak lelaki bernama Kinston Lee yang kini berumur sembilan bulan.

Chong Wei memulakan kariernya sejak berusia 18 tahun, antara pencapaian terbesarnya ialah memenangi pingat perak Sukan Olimpik 2012 di London.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment