Monday, January 20, 2014

Chong Wei Juara Terbuka Siri Super Malaysia Untuk Kali Ke-10

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei berada dalam kelas tersendiri apabila menambah koleksi pingat peribadi kesepuluhnya selaku juara Kejohanan Terbuka Siri Super Malaysia 2014 Ahad.

Chong Wei mencatat kemenangan bergaya itu dengan menewaskan pemain nombor empat dunia Tommy Sugiarto dari Indonesia dengan straight set 21-19 dan 21-9 dalam masa 47 minit di Stadium Putra Bukit Jalil.

Selaku juara, Chong Wei membawa pulang wang tunai US$37,500 (RM123,637) manakala naib juara Tommy membawa pulang US$19,000 (RM62,443).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hadir menyempurnakan majlis penyampaian hadiah. Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Chong Wei merupakan juara Terbuka Malaysia pada 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2013.

Lebih ironi kemenangan itu merupakan penyertaan terakhir Chong Wei dalam kejohanan Terbuka Super Siri Malaysia 2014 dan beliau kelihatan menitiskan air mata selepas meraih mata kemenangannya yang terakhir di gelanggang hari ini.

"Saya memang mahu menang final hari ini dan terharu dapat membuat rekod kemenangan sebanyak 10 kali menjadi juara Terbuka Malaysia dan mungkin merupakan penyertaan terakhir pada Terbuka Malaysia.

"Pada set pertama agak sukar dan ada juga sedikit tekanan. Bukan satu yang mudah untuk sampai ke tahap ini, banyak cabaran yang perlu saya lalui," katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Selain Chong Wei, beregu lelaki negara turut mencipta kejayaan menerusi Goh V Shem-Lim Khim Wah yang buat pertama kali muncul juara Terbuka Siri Super Malaysia menewaskan gandingan dari China Chai Biao-Hong Wei 21-19 dan 21-18.

"Sudah lama tiada dua pemenang negara dalam Terbuka Malaysia, saya harap mereka (V Shem-Khim Wah) dapat kekal sekali gus menemani saya sehingga final kejohanan All England tahun ini," kata Chong Wei.

Sementara itu, China memonopoli kejuaraan dalam tiga lagi acara iaitu perseorangan wanita melalui pemain nombor satu dunia mereka, Lu Xuerui yang mengenepikan rakan sepasukannya Wang Shixian dengan 21-16 dan 21-17.

Beregu wanita dari China Yixin Bao-Jinhua Tang pula menewaskan beregu Jepun Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi dengan 21-19, 14-21 dan 21-13, manakala beregu campuran mereka Xu Chen-Ma Jin menyingkirkan pasangan dari Denmark Joachim Fischer Nelsen-Christinna Pedersen dengan 21-11, 17-21 dan 21-13.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment