Wednesday, January 15, 2014

Chong Wei intai kejuaraan ke-10


Kuala Lumpur: Meskipun dihimpit rasa kecewa gagal mempertahankan kemenangan pada saingan Terbuka Korea baru-baru ini selepas tewas mudah kepada sensasi China Chen Long, pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei (gambar) tidak pernah berganjak daripada sasarannya untuk merangkul kejuaraan ke-10 Siri Super Premier Terbuka Malaysia yang bermula semalam.

Sedar saingan kali ini begitu penting untuk mencari kembali tahap keyakinan serta keluar daripada tekanan yang menghimpitnya ketika ini, Chong wei sama sekali tidak mahu mensia-siakan peluang terhidang di depan mata walaupun tahu Chen Long pasti akan menyukarkan impiannya itu.

Bagi pemain berusia 31 tahun itu, perkara pertama mahu dilakukan bagi menghadapi ranjau berduri bermula perlawanan pusingan pertama bertemu Hans Kristian Vittinghus dari Denmark hari ini adalah untuk fokus kepada dirinya sendiri tanpa mahu ambil pusing prestasi lawannya yang lain.

“Saya akui memang tak bermain pada tahap terbaik di Korea dan sebab itu saya mahu keputusan terbaik di Terbuka Malaysia.
Foto

“Meraih kejuaraan ke-10 memang sasaran saya dan untuk memenuhi impian itu saya perlu kekalkan semangat dalam diri sendiri.

“Saya tahu ramai yang mahu melihat saya menang di gelanggang sendiri, tetapi pada masa sama saya juga harap dapat mengatasi segala tekanan,” katanya ketika ditemui semalam.

Mengenai Chen Long yang mungkin akan ditemui sekiranya berjaya mara ke pentas final, Chong Wei tidak mahu memikirkan perkara yang masih jauh.

“Saya tidak mahu komen perkara itu. Biar saya fokus kepada setiap perlawanan terlebih dulu, terutama pada pusingan pertama dan kedua,” katanya.

Sementara itu tiada seorang pun pemain berseorangan negara yang beraksi pada pusingan kelayakan semalam layak beraksi pada undian utama hari ini.

Mohd Razif Abdul Latif-Muhammad Hafiz Hashim yang beraksi menerusi acara beregu lelaki berjaya mara ke undian utama hari ini selepas melepasi dua perlawanan kelayakan semalam.

Mengikut jejak langkah Mohd Razif-Muhammad Hafiz ialah Chooi Kah Ming-Teo Ee Yi.

Turut layak ke undian utama hari ini ialah dua beregu wanita iaitu Teoh Mei Xing-Too Shen Yee serta Joyce Choong-Yap Cheng Wen perseorangan wanita negara Tee Jing Yi.



Oleh Saiful Affendy Sapran - Arena, Harian Metro

No comments:

Post a Comment