Thursday, January 16, 2014

Beregu longlai!


Kuala Lumpur: Apa sudah jadi? Itu yang boleh dirangkumkan mengenai persembahan dua beregu utama negara semalam yang tewas seawal pusingan pertama Siri Super Premier Terbuka Malaysia selepas mempamerkan persembahan di bawah tahap sebenar dan cukup mengecewakan.

Bagaimanapun, gandingan Goh V Shem-Lim Khim Wah menghadirkan berita gembira apabila mengejutkan pilihan kedua, Mathias Boe-Carsten Mogensen dengan 24-22, 17-21, 21-18.

Terdahulu, gandingan Hoon Thien How-Tan Wee Kiong yang menjadi pilihan kelapan kejohanan, tewas kepada Chris Langridge-Peter Mills dari England 21-18, 19-21, 20-22.

Pilihan ketujuh Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pula mudah dijinakkan gandingan China, Chai Biao-Hong wei 21-17, 21-14.

FotoKIEN Keat (kanan) dan Boon Heong kecewa selepas tewas kepada beregu China.

Aksi mengecewakan kedua-dua beregu negara itu turut mencetuskan kemarahan penyokong yang ternyata tidak dapat menerima kekalahan mereka.

Thien How-Wee Kiong hampir menamatkan permainan ketika mendahului lawan 20-15 pada set ketiga, tetapi akhirnya membenarkan Langridge-Mills meraih tujuh mata berturut-turut sekali gus meraih kemenangan mutlak.

“Saya sendiri tak tahu bagaimana hendak jelaskan. Terlalu banyak perkara bermain di fikiran ketika itu.

“Kami terlalu yakin dapat melangkah ke pusingan seterusnya sehingga tidak bermain pada tahap sebenar,” kata Wee Kiong.

Sementara itu, Kien Keat pula kelu dan hanya memberitahu kekalahan semalam berpunca daripada kesilapan sendiri.

“Lebih banyak saya bercakap, orang akan sentiasa berkata mengenai saya. Saya rasa segala-galanya membabitkan kami berdua. Bukan saya mengatakan kami mempunyai masalah, tapi saya sendiri tidak tahu bagaimana mahu jelaskan.

“Tapi secara jujur, saya memang berasa sangat sedih ketika ini,” katanya.



Oleh Saiful Affendy Sapran, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment