Tuesday, January 07, 2014

Belum ada sasaran pingat Sukan Para Asia 2014

KUALA LUMPUR - Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) masih belum meletakkan sebarang sasaran pingat untuk Sukan Para Asia 2014 yang dijadual berlangsung di Incheon, Korea Selatan, Oktober ini.

Presiden MPM, Datuk Zainal Abu Zarin berkata, pada waktu ini pihaknya lebih memberi tumpuan kepada temasya Sukan Para ASEAN 2014 yang bakal berlangsung di Nay Pyi Taw, Myanmar bermula 14 hingga 20 Januari ini.

Katanya, pihaknya akan menilai persembahan atlet pada temasya itu dan melihat segala kelemahan yang boleh diperbaiki sebelum menetapkan sasaran pingat terutamanya pingat emas.
"Para atlet kini sedang bersiap sedia untuk ke Myanmar pada Ahad ini dan mereka kini sedang dalam fasa akhir latihan untuk menyertai temasya sukan itu.

"Saya tidak boleh menyatakan sasaran pingat lagi waktu ini dan perkara itu hanya boleh diputuskan selepas tamat Sukan Para ASEAN 2014," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Perjanjian Penganjuran Sukan Para Asia 2014, Incheon, di sini semalam.

Majlis itu disempurnakan oleh Zainal selaku Presiden Majlis Paralimpik Asia (APC) dan Ketua Setiausaha Jawatankuasa Penganjuran Sukan Para Asia Incheon (IAPGOC), Hwang Eui Sik.
Sukan Para Asian 2014 yang dijadual berlangsung selama seminggu dari 18 hingga 24 Oktober ini akan disertai atlet dari 42 negara yang bernaung di bawah APC dengan 23 acara akan dipertandingkan, termasuk empat acara baharu iaitu boling padang, pelayaran, ragbi kerusi roda dan tarian kerusi roda.

Beliau juga yakin sasaran 50 pingat emas pada Sukan Para ASEAN 2014 mampu dicapai selain berharap para atlet negara dapat mempamer aksi terbaik bagi membolehkan Malaysia berada pada kelompok tiga teratas.

Dalam pada itu, Zainal berkata, Sukan Para Asia Incheon 2014 juga merupakan medan terbaik untuk atlet bersaing selain memungut mata berharga bagi melayakkan diri ke Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

"Sukan Para Asia ini merupakan lokasi meningkatkan tahap pembangunan dalam kalangan pegawai dan atlet di negara masing-masing.

"Dengan 23 acara yang dipertandingkan, termasuk empat acara baharu, atlet perlu mempersiapkan diri untuk bersaing selain merebut mata berharga untuk melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Rio 2016 berdasarkan merit," katanya.



No comments:

Post a Comment