Monday, January 20, 2014

Azizulhasni bengang komisar batal penyertaannya dalam akhir keirin

KUALA LUMPUR - Keputusan meragukan oleh komisar perlumbaan meragut peluang pelumba berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang untuk meraih pingat sulung dalam acara keirin di Siri Piala Dunia Klasik III di Guadalajara, Mexico semalam.

Selepas berusaha keras untuk melayakkan diri ke persaingan akhir, Azizulhasni dan pelumba Jerman, Joachim Eilers dikatakan melakukan kesilapan dengan memintas derny terlalu awal dan penyertaan mereka dibatalkan oleh komisar.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata, dia terkejut dan terpinga-pinga selepas disuruh berhenti berkayuh dan perlumbaan dimulakan semula dengan hanya membabitkan empat orang pelumba.

Menurut Azizulhasni, selepas melihat kembali rakaman video, dia tidak salah kerana memintas derny pada waktu yang sesuai selepas penunggang motosikal tersebut membuka ruang untuk pelumba mengambil tempat dan memulakan pecutan.

"Pelumba Jerman (Eilers) sudah berada di depan sebelum derny membuka ruang, diikuti pelumba-pelumba lain yang mengekorinya, jadi saya juga mengambil keputusan untuk keluar kerana tidak mahu sangkut di belakang derny," katanya kepada Utusan Malaysia melalui Facebook semalam.
Jelasnya, apabila ada pelumba yang mula mengorak langkah ke depan maka dia juga mengambil keputusan yang sama.

Oleh itu dia berasa hairan kenapa dia dibatalkan.

"Kalau komisar hendak membatalkan perlumbaan sepatutnya hanya pelumba Jerman itu seorang sahaja kerana memang ketara dia yang memulakan semuanya.

"Sudah sampai pusingan yang ketiga selepas derny membuka ruang, mereka tiba-tiba memberhentikan perlumbaan dan menyuruh saya dan Eilers berhenti di tepi, selepas itu mereka cepat-cepat memulakan perlumbaan," kata pelumba yang terkenal dengan gelaran The Pocketrocketman itu.

Katanya, dia tidak sempat untuk bertanyakan tentang kesalahannya apatah lagi hendak membuat protes.
Perlumbaan itu dimenangi oleh Matthijs Buchli dari Belanda, diikuti Santiago Ramirez (Colombia) dan Alexander Oliva Lewis (Britain).

"Mereka membuat keputusan sesuka hati, saya memang bengang dengan keputusan ini kerana mempunyai peluang besar untuk menaiki podium malam ini (semalam)," katanya yang akan beraksi dalam acara pecut hari ini.

Sementara itu, pelumba wanita negara, Fatehah Mustapa menduduki tempat ke-14 acara pecut selepas terkandas di pusingan suku akhir B. Dia tumpas di tangan pelumba Britain, Dannielle Khan.
Seorang lagi pelumba wanita negara, Ju Pha Som Net menduduki tempat ke-12 dalam perlumbaan scratch

No comments:

Post a Comment