Tuesday, January 28, 2014

Apa lagi BAM tunggu?


SELEPAS terlalu banyak diberi peluang, Tan Boon Heong (kiri) akhirnya akur berpisah dengan Koo Kien Keat mungkin jalan terbaik untuk memperbaiki karier.


KUALA LUMPUR - Sudah terlalu lama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi peluang kepada Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, walaupun prestasi beregu utama negara itu tidak menunjukkan sebarang tanda akan pulih. 

Penyingkiran Boon Heong-Kien Keat pada pusingan pertama Terbuka Malaysia, dua minggu lalu sepatutnya memberi alasan kukuh kepada BAM untuk bertindak, namun badan induk itu sebaliknya sekadar 'membekukan' penyertaan mereka buat sementara.

Namun sekarang, BAM tiada sebarang alasan lagi untuk terus mengekalkan pasangan bermasalah itu selepas Boon Heong sendiri dengan rela hati bersetuju untuk dipisahkan.
Pemain berusia 26 tahun itu berkata, dia rela diberikan pasangan baharu asalkan ia memberi kebaikan kepada dirinya dan Kien Keat.

Kata Boon Heong, sekarang terpulang kepada BAM untuk menentukan masa depannya.
Ketika ditanya tentang idea pemecahan itu, Boon Heong dengan ringkas menjawab: "Boleh juga."
Ini bukan kali pertama pemain kelahiran Kedah itu memberi bayangan sedia berpisah. Dia sebelum ini pernah menyuarakan perkara yang sama ketika tersingkir di suku akhir Kejohanan Dunia di Guangzhou, tahun lalu.

Gandingan itu sepatutnya sudah dipisahkan selepas kejohanan tersebut.

Kata Boon Heong, pada masa ini mereka tidak akan beraksi dalam mana-mana kejohanan terdekat kerana dihukum, namun sebagai pemain profesional dia tetap berlatih dan hanya menunggu maklum balas dari pihak pengurusan selepas Tahun Baru Cina.

"Kami masih menunggu mungkin selepas Mesyuarat Exco minggu depan barulah kami mengetahui keputusannya.
"Sekarang kami tidak tahu apakah tindakan selanjutnya, kami hanya tahu bahawa kami dibekukan," katanya.

Pengurusan lama BAM di bawah Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh sebelum ini memberi amaran, pasangan ini akan dipecahkan jika gagal layak ke final Kejohanan Dunia tahun lalu.

Namun apabila BAM beralih teraju, Presiden baharu, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff telah memberi talian hayat yang tidak dapat dipastikan sehingga bila.

Kien Keat-Boon Heong pernah menggegar badminton dunia sejak digandingkan buat kali pertama pada 2006 apabila merangkul pingat emas Sukan Asia 2006 dan All England 2007.

Namun entah di mana silapnya, mereka masih gagal memenangi sebarang kejuaraan utama sejak kali terakhir muncul juara Terbuka Malaysia pada 2010.

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment