Monday, January 06, 2014

Ada dendam peribadi: Zolkples

Ada dendam peribadi: Zolkples Datuk Seri Zolkples Embong
 
Kuala Lumpur: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong nyata kecewa dengan kenyataan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail yang seperti masih menyimpan ‘dendam peribadi’ terhadap Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Khairy sebelum ini menyatakan hasrat untuk bekerjasama semula selepas berlaku ketegangan memperlihatkan sepak takraw acap kali tewas kepada Korea Selatan, Indonesia dan Thailand tahun lalu, dan mahu menjalinkan hubungan lebih erat bersama PSM bagi memperbaiki prestasi sukan berkenaan menjelang Sukan SEA Malaysia 2017.

Isu makanan


Namun, sekembalinya pasukan takraw dari Sukan SEA Myanmar, Ahmad meminta menteri berkenaan supaya bukan hanya sekadar membuat janji politik selain meminta permintaan mereka sebelum ini seperti kemudahan sains sukan, ditunaikan.

Malah Jumaat lalu, Ahmad meminta Khairy supaya turun ke Kompleks Sukan Keramat – tempat atlet sepak takraw berlatih – melihat sendiri keadaan di sana termasuk makanan disediakan di kantin yang baginya amat mendukacitakan.

Isu dibangkitkan Ahmad itu nyata mengecewakan Zolkples yang baginya ‘pelik’ sedangkan sebelum ini PSM sendiri yang menyatakan hasrat mahu memusatkan atlet takraw di sana bersama sukan lain sep erti memanah dan tinju.

Sedia kemudahan

“Kenapa isu makanan pula ditimbulkan sedangkan kami tidak pernah menerima apa-apa aduan pun sebelum ini.

Atlet memanah dan tinju juga makan bersama (di Keramat) dan mereka tidak ada aduan pun.

“Penyedia katering yang menyediakan makanan (Keramat) adalah yang sama di MSN Bukit Jalil. Jadi mereka tahu apa yang perlu disediakan untuk atlet selain menu disediakan juga disediakan pakar pemakanan dan mereka memantau makanan di sana.

“Saya juga tidak tahu apa Datuk Ahmad mahukan. MSN sudah bagi pelbagai kemudahan kepada mereka di Keramat termasuk ruang pejabat, bilik mesyuarat dan banyak lagi malah Datuk Arshad (Setiausaha Kehormat PSM) juga mempunyai bilik penginapan di sana. Semuanya percuma tanpa dikenakan caj,” katanya.

Mengulas sama ada satu perjumpaan bersama PSM akan diadakan dalam masa terdekat ini, Zolkples berkata: “Saya memang bersedia untuk duduk berbincang dengan PSM dalam masa terdekat ini seperti diarahkan menteri tetapi mereka perlu ikhlas.

Kalau mereka mempunyai agenda, maka sukarlah untuk duduk bersama mencari jalan penyelesaian.”



Oleh Sukhairi Thani - Berita |Harian

No comments:

Post a Comment