Monday, January 06, 2014

Abu Samah tak tergugat


Kuala Lumpur: Datuk Abu Samah Wahab langsung tidak tergugat dengan desakan pihak luar yang mahu beliau meletakkan jawatan.

Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) itu berkata, pemilihannya selaku presiden bukan atas kehendaknya namun ia dipilih oleh 57 ahli perwakilan yang sebulat suara memberi sokongan kepadanya untuk menjawat jawatan itu justeru sekiranya beliau mendapat tentangan daripada mereka, mengapa beliau dipilih untuk terus memegang tampuk kepimpinan itu.

Bagaimanapun bagi yang tidak berpuas hati dengan cara kendaliannya menguruskan persekutuan itu, mereka tidak perlu bimbang kerana beliau yang menjawat jawatan selaku presiden sejak 1990 menegaskan ia adalah penggal terakhir beliau memegang jawatan selaku presiden.

“Dua minggu selepas saya mula memegang jawatan presiden pada 1990 sudah ada yang menyuruh saya letak jawatan dan mengatakan saya tidak akan kekal di kerusi itu.

“Tapi Alhamdulillah sudah 22 tahun saya terus menjawat jawatan itu. Ingin saya tegaskan jawatan presiden ini dipilih dan saya pula tidak pernah dicabar cuma penerimaan segelintir pihak yang tidak berpuas hati yang mengeluarkan suara-suara sumbang,” katanya.

Abu Samah turut menegaskan beliau akan memegang janjinya dengan menegaskan ia berkata penggal yang berakhir 2015 adalah penggal terakhirnya sebagai presiden dan akan melepaskannya kepada pucuk pimpinan baru.
“Seperti yang pernah saya katakan dulu, ini adalah penggal terakhir dan saya akan melepaskan jawatan dan tidak akan bertanding.

“Bagaimanapun seperti yang anda sedia maklum jawatan itu perlu ditandingi dan bukan ia adalah pemilihan secara suka rela,” katanya.
Perbalahan dalam PKBM menjadi semakin meruncing selepas temasya Sukan SEA di Myanmar apabila skuad lebuh raya negara gagal menamatkan kemarau pingat sejak 2005 yang disumbangkan oleh Suhardi Hassan.

Dengan barisan pelumba berstatus profesional, kegagalan itu dilihat paling mengecewakan apabila tewas kepada pelumba tidak ternama dari Laos dan kegagalan itu dikatakan berpunca daripada pengurusan yang tidak profesional apabila menggugurkan Mohd Zamri Salleh pada saat akhir.


Oleh Aida Adilah Mat - Arena, Harian Metro

No comments:

Post a Comment