Wednesday, January 08, 2014

5 jurulatih bantu Revington

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (tengah) berbincang dengan Muhammad Dharma Raj Abdullah (kanan) dan Paul Revington selepas mempengerusikan Mesyuarat Konfederasi Hoki Malaysia di Kuantan, semalam. - BERNAMA 
 
KUANTAN - Jurulatih skuad hoki kebangsaan, Paul Revington kini tidak perlu bimbang untuk menghadapi jadual padat tahun ini kerana akan mendapat bantuan lima penolong jurulatih sekali gus menjadi jumlah pembantu paling banyak dalam sejarah sukan hoki Malaysia.

Antara pembantu jurulatih yang akan bersama Revington sepanjang tahun ini ialah penolong sedia ada Arul Selvaraj, bekas jurulatih skuad hoki remaja kebangsaan, Muhammad Dharma Raj Abdullah, Nor Azlan Bakar, K. Gobinathan dan M. Nadarajah.

Pelantikan itu diumumkan oleh Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selepas mesyuarat bagi membincangkan hala tuju skuad hoki negara pada tahun ini di sebuah hotel di sini semalam.

Tengku Abdullah berkata, pada tahun ini skuad hoki negara akan menghadapi enam kejohanan, bermula Mac hingga Oktober.

Jadi, katanya, pelantikan tiga penolong jurulatih baharu itu merupakan sebahagian perancangan yang diputuskan MHC untuk menentukan hala tuju skuad hoki negara dalam berdepan semua kejohanan tersebut.

"Kami mahu momentum pencapaian terbaik yang telah diperoleh sebelum ini berterusan dan persiapan itu dimulakan dengan melantik tenaga jurulatih yang berkaliber untuk pasukan hoki negara.
"Tumpuan akan diberikan kepada Sukan Asia di Korea Selatan, kami sasarkan jadi juara di sana, In syaAllah, ini penting untuk kita menempah tempat di Sukan Olimpik Rio 2016," katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat itu semalam.

Sebelum ini, sepuluh pemain skuad remaja dinaikkan pangkat ke pasukan senior kebangsaan selepas menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam Piala Dunia Remaja 2013 di New Delhi dan mempunyai peluang untuk beraksi dalam kempen Piala Dunia 2014 di Belanda Mei Depan.

Selain berdepan dengan kejohanan besar itu, skuad senior negara akan menghadapi Piala Sultan Azlan Shah pada 13 hingga 22 Mac di Ipoh dan Cabaran Juara-Juara 1 (25 April hingga 4 Mei) di Kuantan.

Selepas Piala Dunia, anak-anak buah Revington akan berlepas ke Scotland untuk menyertai Sukan Komanwel (23 Julai hingga 3 Ogos) dan Sukan Asia di Korea Selatan September depan.

Tengku Abdullah juga berkata, MHC akan mencari pengganti jurulatih skuad remaja yang dikosongkan oleh Dharma Raj dengan pakar tempatan diberi keutamaan untuk mengisi jawatan tersebut.

Beliau berkata, dua jurulatih hoki negara iaitu Lim Chiow Chuan dan Tai Beng Hai akan bertindak sebagai penyelaras untuk memilih calon yang sesuai bagi menggalas tugas tersebut.

"Kami akan teliti calon yang sesuai termasuk jurulatih dari luar namun keutamaan diberi kepada calon tempatan, kami akan buka kepada sesiapa yang berminat untuk jawatan itu," jelasnya.



Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Sukan/20140108/su_05/5-jurulatih-bantu-Revington#ixzz2pm0uHwRU

No comments:

Post a Comment