Thursday, November 28, 2013

Zolkples puji sikap Annuar

PETALING JAYA - Hasrat Tan Sri Annuar Musa untuk menarik diri dari Jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Negara agar hubungan antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak bertambah keruh mendapat reaksi positif daripada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong.

Menurutnya, kenyataan yang dikeluarkan Annuar sebelum ini perlu dilihat dari sudut positif kerana beliau lebih mementingkan pembangunan bola sepak itu sendiri berbanding dirinya hanya sebagai seorang individu, dalam masa yang sama tidak mahu FAM dikenakan sebarang tindakan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Beliau telah sebutkan sebelum ini bahawa bahawa beliau tidak lebih besar daripada sukan itu sendiri dan dalam masa yang sama pelan pembangunan itu harus diteruskan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penajaan Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014 semalam.

Sebelum ini Annuar pernah mengeluarkan kenyataan bahawa sedia menarik diri daripada menganggotai Jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Negara, sekiranya tindakan tersebut dapat memastikan FAM meneruskan penglibatan mereka dalam jawatankuasa itu.

“Saya harap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik berdasarkan situasi menang-menang, dalam masa yang sama mereka yang rasa dapat menyumbang dalam pelaksanaan program ini dapat memberi kerjasama," katanya.

Kelmarin Annuar sekali lagi mengeluarkan kenyataan yang sama bahawa beliau menerima pelantikan dalam jawatankuasa tersebut dan menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak di Majlis Sukan Negara (MSN) Isnin lalu, namun menjelaskan jika FAM tidak mahu terlibat disebabkan beliau berada di situ jadi jalan terbaik baginya adalah menarik diri.

Annuar mengakui jika penglibatannya mampu menyebabkan FAM dikenakan tindakan beliau bersedia untuk menarik diri tetapi beliau tidak menolak pelantikan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM, Datuk Takiyuddin Hassan ketika merujuk kepada kuasa FIFA seperti yang terkandung di dalam Artikel 17 Statut FIFA bahawa (FAM) boleh di gantung oleh FIFA sekiranya terdapat bukti campur tangan kerajaan dalam apa perkara sekali pun dan jika berlaku ia adalah penamat kepada bola sepak Malaysia.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin seperti di laporkan kelmarin berkata, keputusan sama ada sah atau tidak pelantikan itu hanya akan diketahui minggu depan selepas mendapat pandangan daripada AFC.

No comments:

Post a Comment