Monday, November 11, 2013

Velodrom Rakyat Ipoh jadi pelan penyelamat - Khairy

KUALA LUMPUR - Andai kata Velodrom Kuala Lumpur, Cheras dirobohkan dan pada masa yang sama velodrom latihan yang bakal dibina tidak dapat disiapkan dalam tempoh singkat, kerajaan mempunyai perancangan untuk menaik taraf Velodrom Rakyat di Ipoh sebagai ganti.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, mengikut syarat, pemaju pihak swasta dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Velodrom Kuala Lumpur hanya boleh dirobohkan selepas satu velodrom latihan disiapkan.

"Kita sudah ada pelan B iaitu menaik taraf Velodrom Rakyat, Ipoh jika velodrom asas (latihan) di Cheras tidak dapat disiapkan. Cuma kita perlu memperbaiki fasiliti yang ada dan sudah sediakan bajet, tidak perlu untuk membina velodrom baharu di sana, hanya menggantikan permukaannya," katanya di Bukit Jalil, semalam.

Khairy menjelaskan, beliau telah menemui Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor supaya mempertimbangkan permohonannya agar DBKL dapat membina velodrom latihan dan tidak perlu membina satu lagi velodrom tertutup kelas satu.

"Saya minta mereka menggantikan velodrom yang sedia ada di Cheras dan ia juga adalah hasil permintaan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (PBKL). Ia juga lebih jimat daripada membina velodrom berbumbung dengan nilai kos yang agak tinggi.

"Saya harap mereka dapat mempertimbangkan permintaan ini yang disusuri dengan surat rasmi. Kalau tidak kita hanya akan menaik taraf Velodrom Rakyat kerana saya risau bila velodrom yang lama dirobohkan tidak ada tempat untuk pelumba menjalani latihan," katanya yang turut memberitahu belum pasti bila Velodrom Kuala Lumpur akan dirobohkan walaupun terdapat ura-ura mengatakan ia akan dibuat pada bulan depan.

Ditanya jika tidak ada tempat untuk pelumba trek berlatih adakah mereka semua akan dihantar ke luar negara bersama beberapa pelumba senior seperti Azizulhasni Awang, Josiah Ng dan Fatehah Mustapa, Khairy berkata, tidak ada sebab bahawa pelumba yang berpangkalan di Malaysia akan dihantar berlatih di luar negara dalam tempoh yang panjang.

"Itulah sebabnya kita menyediakan pelan B kerana menghantar semua pelumba berlatih di luar negara melibatkan kos yang tinggi, kita cuma hantar mereka berlatih di sana hanya dalam tempoh yang pendek sahaja," katanya.

Mengenai sebarang maklumat terkini tentang pembinaan velodrom di Nilai, Khairy menjelaskan, beliau telah melihat reka bentuk yang dibentangkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Mereka telah membentangkan beberapa bentuk velodrom tertutup kelas satu, semuanya bukan saya yang pilih tetapi JKR yang pilih dan daripada apa yang mereka bentangkan itu ia sangat menarik serta bakal menjadi salah satu velodrom bertaraf dunia," katanya.

No comments:

Post a Comment