Wednesday, November 06, 2013

Tiada sukan tradisional!


Kuala Lumpur: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong menegaskan Malaysia tidak akan menyenaraikan acara tradisional semata-mata untuk mengejar pingat apabila menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017 seperti yang dilakukan negara lain sebelum ini.
Beliau yang gembira dengan pengumuman Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengenai kelulusan kerajaan dengan cadangan untuk menganjurkan temasya sukan dwi tahunan itu pada 2017 semalam berkata, aspek yang akan diberi penekanan adalah jenis acara yang akan dipertandingkan supaya ia boleh membuka mata negara lain.

“Saya lebih fokus kepada acara sukan kerana kita mahu menjadi contoh terbaik kepada negara lain. Bagi saya Sukan SEA adalah medan persediaan atlet ke kejohanan lebih tinggi seperti Sukan Asia, Komanwel dan Olimpik. Jika kita menyenaraikan acara sukan tradisional, ia satu perkara yang merugikan,” kata Zolkples pada sidang media majlis perasmian Kejohanan Menembak Asia Tenggara SEASA ke-37 semalam.

Apa yang diperkatakan oleh Zolkples itu jelas menunjukkan betapa Malaysia tidak mahu terikut-ikut negara rantau ini yang menyenaraikan acara tradisional seperti kempo, vovinam, renang sirip, sepak bulu ayam dan Chinlone pada penganjuran sebelum ini. “Dari segi penganjuran bagi saya tiada masalah kerana kita mempunyai pengalaman menganjurkan kejohanan bertaraf dunia, apa yang perlu diberi keutamaan adalah persediaan atlet. Kita pernah muncul juara keseluruhan pada 2001 dan sudah pasti rakyat Malaysia mahu mengulangi kejayaan itu,” katanya.

Zolkples menegaskan mereka tidak akan menggunakan ‘taktik kotor’ semata-mata mahu meraih kejuaraan.

“Kita akan umumkan acara lebih awal, kemudahan, hotel dan venue pertandingan. Kita memang mahu gunakan kelebihan selaku tuan rumah tapi tidak sampai hingga menyusahkan negara lain, atau memanipulasi peraturan untuk menang,” katanya.

FotoZOLKPLES (tengah) tak mahu ikut jejak negara tuan rumah lain.
Terdahulu pada majlis yang sama Khairy mengumumkan Kabinet sudah meluluskan cadangan penganjuran Sukan SEA pada 2017 minggu lalu bagi mengambil alih tempat Brunei yang memohon kepada Persekutuan Sukan SEA (SGF) untuk menunda gilirannya kepada tahun 2019. Mengikut sistem giliran, hak tuan rumah Malaysia adalah pada 2019.

Bagaimanapun Khairy tidak mendedahkan jumlah peruntukan oleh kerajaan namun menyatakan ia tidak membabitkan kos terlalu tinggi biarpun cadangan awal beberapa acara sukan bakal diadakan di luar Kuala Lumpur termasuk buat kali pertama di Sabah dan Sarawak.
“Mesyuarat jemaah menteri minggu lalu sudah meluluskan cadangan untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017. Kita mahu menjadi penganjur yang cemerlang tapi pada masa sama kita sensitif dengan kedudukan kewangan kerajaan dan akan cuba mengurangkan bajet. Kita tidak akan membina kemudahan baru kecuali velodorom di Nilai. Kita juga tidak akan membina perkampungan sukan dan hanya menggunakan hotel dan menaikkan taraf gelanggang sedia ada,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi menyatakan, anggaran kasar perbelanjaan penganjuran Sukan SEA adalah RM80 juta namun mampu mendapat pulangan balik RM60 juta menjadikan kos yang perlu ditanggung kerajaan hanyalah RM20 juta.



Oleh Aziman Rosdi - Arena, Harian Metro

No comments:

Post a Comment