Monday, November 25, 2013

Terima kasih Rajagobal

PETALING JAYA - Seperti yang diduga ramai pemerhati, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sah tidak melanjutkan khidmat Datuk K. Rajagobal sebagai ketua jurulatih pasukan negara selepas tempoh kontraknya berakhir pada 31 Disember ini.

Jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee dilantik sebagai jurulatih sementara negara sehingga FAM menemui penyandang tetap yang berkemungkinan besar warga asing dalam tempoh menjelang perlawanan Kumpulan D Piala Asia 2015 dengan Yemen, 5 Mac depan.

Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam, memutuskan bahawa sudah sampai masanya pasukan negara memberi peluang kepada jurulatih luar atau sesiapa yang boleh membawa sumbangan yang lebih besar.

Naib Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, daripada segi taktikal jika hendak melangkah tahap yang lebih tinggi (dari Asia Tenggara ke Asia), Malaysia perlu beralih kepada jurulatih asing yang memohon dan sudah disenarai pendek persatuan.

"Datuk Rajagobal pun antara jurulatih negara yang paling lama berkhidmat dengan FAM. Peminat juga patut faham kita akan beralih ke era baharu dan orang lain perlu diberi peluang.

"Kami berterima kasih atas segala jasa beliau sejak menjadi jurulatih negara dan bawah 23 tahun negara (pingat emas Sukan SEA 2009 dan Piala Suzuki AFF 2010) tetapi akhirnya keputusan dibuat berdasarkan KPI (layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia).

"Datuk Kim Swee cuma dijadikan jurulatih sementara tetapi bukan bererti dia ketua jurulatih kebangsaan. Sekembalinya daripada tugasan Sukan SEA (bulan depan) dan jika tiada lagi pelantikan ketua jurulatih baharu, dia jadi jurulatih sementara untuk lawan Yemen. Ini hanya pelan persediaan," katanya selepas mesyuarat yang dipengerusikan Presiden persatuan, Sultan Ahmad Shah itu.

Kata Subahan yang juga pengurus pasukan negara dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal FAM, kontrak Kim Swee turut dilanjutkan selepas 2013 dengan akan menerajui Harimau Muda A, skuad bawah 23 tahun kebangsaan itu.

"Ada beberapa calon jurulatih yang disenarai pendek, mungkin warga asing tetapi masih terlalu awal untuk maklumkannya. Kami akan buat pemilihan dalam masa terdekat atau sebelum permulaan tahun depan, kita mungkin dapat jurulatih baharu (skuad negara) paling lama pun dalam dua bulan," katanya.

Subahan menegaskan, kontrak Rajagobal tidak dilanjutkan FAM secara baik namun pihaknya percaya, dengan pengalaman luas dan rekod kejayaan antarabangsa lalu, jurulatih itu mampu mendapat tawaran untuk melatih pasukan lain.

Mengenai sama ada bekas jurulatih Piala Dunia Jepun, Philippe Troussier dari Perancis berada dalam senarai pendek FAM, katanya, beliau hanya terbaca laporan akhbar mengenainya.
"Saya rasa mungkin ada lagi (jurulatih asing) yang memohon selepas kontrak Datuk Rajagobal diumumkan tidak disambung," ujarnya lagi.

Subahan turut tidak dapat mengulas mengenai kedudukan dua penolong jurulatih negara, Tan Cheng Hoe dan Faozi Mukhlas yang sentiasa bersama Rajagobal sebelum ini, memandangkan soal kontrak mereka tidak pula dibincangkan pada mesyuarat Exco FAM itu.

Sementara itu, Rajagobal yang dihubungi Utusan Malaysia enggan mengulas lanjut berhubung kontraknya dan sekadar memberikan alasan sedang sibuk sebelum memutuskan talian.
"Saya sedang dalam perbincangan, hubungi saya nanti," kata Rajagobal.

Bagaimanapun, ketika dihubungi beberapa kali sejam selepas itu, jurulatih tersebut tidak menjawab panggilan.


Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment