Thursday, November 28, 2013

Terengganu batal taja LTdL 2014

KUALA TERENGGANU - Kecewa kerana tidak mendapat hak penganjuran acara ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017, Terengganu mengumumkan untuk menarik tajaan RM2 juta bagi perlumbaan basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014. 

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said juga menegaskan, Terengganu tidak akan menganjurkan sebarang peringkat pada perlumbaan itu.
"Kita benar-benar kecewa, jadi kita akan tarik diri menjadi tuan rumah LTdL.

"Kita tak akan sediakan tajaan. Tahun lepas kita taja RM2 juta, maknanya tiada lagi penajaan sebanyak itu untuk tahun ini.

"Kita berlembut dengan orang kalau orang berlembut dengan kita, tapi kalau orang dah tak hirau, begitu juga kita," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyurat Exco Kerajaan negeri di sini semalam.

Beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak sepatutnya mengambil keputusan terburu-buru sehingga mengecewakan harapan Terengganu yang memang diketahui mempunyai ramai atlet mewakili negara.

Menurutnya, ketika ini terdapat 65 atlet kelahiran Terengganu bakal mewakili Malaysia dalam pelbagai acara sukan khususnya lumba basikal dan kenu.

"Kadang-kadang, dia orang (KBS) buat keputusan tergesa-gesa dan terburu-buru. Sedangkan Terengganu berjaya melahirkan ramai atlet khususnya dalam lumba basikal, kenu dan sukan lain.
"Sepatutnya KBS kena beri pada kita (penganjuran)," katanya lagi.

Beliau mengulas keputusan kementerian berkenaan yang memberi hak penganjuran kepada negeri lain iaitu Negeri Sembilan (basikal trek) dan Johor (lebuh raya) pada Sukan SEA 2017 dengan Malaysia menjadi tuan rumah.

Beliau turut terkilan dengan tindakan KBS yang seolah-olah tidak menghargai sumbangan besar Terengganu yang melahirkan ramai atlet yang telah mengharumkan nama negara.

Mengenai penganjuran Piala Monsun pula, beliau berkata, terserah kepada pihak penganjur untuk meneruskan kejohanan itu di Terengganu atau negeri lain.

Ini kerana, jelasnya, Terengganu mempunyai kemudahan mencukupi bagi menganjurkan kejohanan itu pada masa akan datang.

"Terpulang pada penganjur, kita ada kemudahan yang cukup untuk menganjurkannya, kalau buat di tempat lain, perlu ada kemudahan lain," ujarnya.

No comments:

Post a Comment