Friday, November 15, 2013

Stadium Shah Alam dibaiki



Kuala Lumpur: Stadium Shah Alam tidak boleh digunakan hingga Mac tahun depan bagi membolehkan kerja penambahbaikan dijalankan ke atas stadium berkapasiti 80,000 penonton itu.

Menurut Pengurus Bahagian Pengurusan Stadium Jamsari Khamin, aksi bola sepak kelayakan Piala Asia 2015 antara Malaysia menentang Qatar pada 19 November menjadi perlawanan terakhir sebelum stadium ditutup.

“Kami merancang menambah baik stadium berkenaan selepas sebahagian daripadanya dilakukan pada awal tahun ini. Kali ini beberapa lokasi seperti padang, bumbung dan beberapa bahagian lagi akan diperbaiki dan pertingkatkan,” katanya.

Perkembangan berkenaan pasti menjejaskan aksi merebut Piala Sultan Ahmad Shah membabitkan LionsXII menentang Pahang dijadual pada 17 Januari ketika Stadium Nasional Bukit Jalil turut ditutup selama enam bulan bermula Oktober lalu.

Malah Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) turut terkena tempias kerana tidak dapat menggunakan gelanggang keramat mereka apabila saingan Liga Super memulakan saingan pada Januari, seperti yang berlaku pada awal musim 2012 dengan Merah Kuning menggunakan Stadium Nasional pada peringkat awal Liga M kerana penutupan Stadium Shah Alam bagi tujuan yang sama.

Namun kali ini Stadium Majlis Perbandaran Kelana Jaya di Kelana Jaya dilihat sebagai stadium alternatif buat Selangor sebelum kembali ke Stadium Shah Alam apabila ia dibuka semula.


Oleh Azlan Muhammad Zain, Arena Harian Metro

No comments:

Post a Comment