Thursday, November 07, 2013

Skuad hoki negara perlu fokus

SKUAD hoki negara perlu menangani masalah hilang konsentrasi pada minit terakhir sekiranya mahu mengekalkan pingat gangsa pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2013 di Kakamigahara, Jepun.

Selepas tunduk kepada Jepun 0-1 hasil jaringan saat akhir tuan rumah pada aksi pembukaan, skuad kendalian Paul Revington itu sekali lagi dibayangi kesilapan yang sama kelmarin apabila dibolosi gol tunggal Pakistan ketika permainan berbaki 30 saat untuk ditamatkan.

Natijahnya, misi skuad negara untuk layak ke final semakin tipis dan peluang terbaik yang ada ketika ini ialah melangkah ke peringkat penentuan pingat gangsa (ketiga/keempat).
Bagi melaksanakan misi kedua tersebut, skuad negara perlu menang ke atas China hari ini dan paling penting harus menunjukkan kebangkitan dengan mengekalkan konsentrasi sehingga ke penghujung permainan.

“Memang amat mengecewakan apabila kita dikalahkan dengan jaringan saat akhir seperti ini (0-1 kepada Pakistan kelmarin),” jelas Revington.
“Pemain negara beraksi dengan baik sepanjang permainan, namun ia tidak memberi sebarang makna jika kita gagal memenangi perlawanan itu.

“Inilah cabaran yang perlu diatasi oleh pemain kita. Saya akan cuba mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini supaya kita mampu meneruskan kemaraan sekurang-kurangnya ke peringkat penentuan pingat gangsa,” ujarnya lagi.

Setakat ini Malaysia hanya mencatat satu kemenangan dalam tiga perlawanan iaitu menewaskan Oman 5-3.

Selepas menentang China hari ini, skuad negara akan berdepan India pada aksi terakhir kumpulan yang menggunakan format liga sepusingan itu.

Ketika ini Malaysia berada di tangga keempat liga dan peluang untuk menduduki dua tempat teratas semakin tipis hasil dua kekalahan daripada tiga perlawanan.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam dua edisi ini ialah memenangi pingat gangsa pada tahun 2011 di Ordos, China dan 2012 di Doha, Qatar.

No comments:

Post a Comment