Thursday, November 14, 2013

Saya Tetap Bersuara Demi Kepentingan Bola Sepak Negara - Khairy

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata beliau tidak akan berhenti daripada memberi pandangan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) walaupun menerima pelbagai kritikan.

Katanya beliau tetap akan 'bersuara' demi kepentingan sukan bola sepak negara dan meminta anggota FAM supaya bersikap terbuka kerana kritikannya tidak ditujukan kepada individu tertentu tetapi sebaliknya kepada institusi berkenaan.

"Walaupun kita (kerajaan) tidak boleh campur tangan dalam urusan pentadbiran FAM, tetapi saya rasa menjadi tanggungjawab sebagai Menteri Belia dan Sukan memberi pandangan terutama suara rakyat dan peminat bola sepak tanah air," katanya ketika menjawab celahan daripada beberapa anggota Parlimen di Dewan Rakyat hari ini.

Beberapa anggota Parlimen, yang menyokong tindakannya menegur FAM, meminta beliau untuk terus bersuara bagi mengangkat martabat bola sepak negara yang dilihat semakin merosot.

Khairy bukan sahaja mendapat sokongan daripada anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) malah daripada segelintir anggota Parlimen pembangkang.

Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berkata teguran Khairy terhadap FAM sewajarnya diberi perhatian kerana ia membabitkan prestasi sukan yang popular dan diminati ramai rakyat negara ini.

Sebelum itu, semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014, Khairy berkata Pelan Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan akan dilancarkan tahun depan dalam usaha mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak pada era 70-an.

Beliau berkata pelan pembangunan lima tahun melibatkan pelajar berusia tujuh hingga 17 tahun itu dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Januari depan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment