Tuesday, November 19, 2013

Saya kritik bukan perlekeh

Kuala Lumpur: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong menjelaskan kritikannya terhadap prestasi skuad Harimau Malaya ketika tewas 0-1 kepada Bahrain baru-baru ini, bukan bermaksud memperlekeh kemampuan pasukan itu.

Malah, Zolkples berkata beliau juga tidak berniat menghentam pasukan itu kerana pandangannya berhubung pencapaian pasukan kendalian Datuk K Rajagobal itu adalah komen yang realistik.

“Saya lihat kualiti persembahan pemain semakin baik jika dibanding dengan pencapaian lima tahun lalu. Hari itu, saya cuma beritahu saya tidak meletakkan harapan tinggi dan sudah menjangka kekalahan dan bukan bermaksud menghentam pasukan dan pemain,” katanya.

Dalam laporan akhbar semalam, penyerang Harimau Malaya, Safee Sali menegaskan sudah tiba masanya pasukan kebangsaan memerlukan sokongan padu dari semua pihak bukannya kritikan yang tidak berkesudahan.

Bekas pemain Pelita Jaya dan Johor Darul Takzim (DT) itu juga `memperli' Zolkples dalam laman sosial berkata “Suruh dia mainlah..cakap pandai.. nanti balas komen dia cakap pemain tidak terima pendapat... orang macam inilah yang rosakkan sukan.. hanya pandai kritik... buat kerja tidak mahu.”

Zolkples berkata bagi membuktikan pasukan Harimau Malaya masih relevan, mereka perlu menampilkan kemampuan apabila berdepan Qatar dalam saingan kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Berhubung tindakan Safee mempertikai pandangannya menerusi Facebook penyerang itu kelmarin, Zolkples bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Namun dalam nada sinis, Zolkples berkata semua atlet profesional perlu berfikir secara matang sebelum memberi kenyataan dan ‘bukan cepat melatah’ apabila dikritik.

“Atlet sukan lain sering menghargai jasa kerajaan dalam membantu mereka seperti (ratu skuasy negara) Datuk Nicol David yang sentiasa berterima kasih dengan bantuan MSN.

“Atlet di bawah MSN tahu tugas dan tanggungjawab mereka kepada negara dan berterima kasih kepada kerajaan, jadi tidak perlu saya hebohkan kepada semua apa MSN beri kepada FAM,” katanya.

Mengulas prestasi merudum Rajagobal sebagai pengendali Harimau Malaya, Zolkples berkata dari segi Petunjuk Prestasi Utama (KPI), jurulatih berkenaan gagal mencapai tahap yang dikehendaki.

“Berhubung masa depan Rajagobal, eloklah FAM sebagai majikan untuk tentukan sama ada mahu sambung atau tidak kontrak beliau (yang berakhir bulan depan),” katanya.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment