Thursday, November 21, 2013

‘Pisahkan mereka’


Kuantan: Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong perlu dipisahkan segera jika mahu melihat beregu negara bersaing dengan gandingan lebih hebat.

Pandangan itu disuarakan Timbalan Presiden BAM Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah yang mahu badan induk itu membuat keputusan berani memisahkan pasangan berkenaan.

Menurutnya, peluang demi peluang diberikan selepas Sukan Olimpik London dan Kejohanan Dunia untuk memastikan mereka kembali berada pada prestasi terbaik.

“Bagaimanapun, mereka masih gagal berbuat demikian dan bagi saya sudah tiba masanya BAM lebih berani memisahkan mereka yang dilihat semakin merosot.

“Kita boleh lihat beberapa negara berani memisahkan beregu mereka dan hasilnya beroleh kejayaan walaupun ranking mereka berada di tangga ke-50.

“Ia sudah dibuktikan Korea Selatan, China dan Indonesia apabila gandingan baru mereka mencipta kejayaan,” katanya.

Tengku Kamil yang juga Presiden Persatuan Badminton Pahang (PBP) berkata, tiada bezanya apabila melihat beregu negara lain berjaya dan sudah pasti jika BAM berani melakukan perubahan, kejayaan mampu dikecapi.

“Sepatutnya BAM tidak perlu mengikut telunjuk pemain kerana mereka masih lagi memiliki pemain pelapis berbakat.

“Ia sudah dibuktikan dengan kejayaan Hoon Thien How-Tan Wee Kiong layak ke final di Terbuka China walaupun mereka gagal menyekat pasangan dari Korea Selantan.

“Tapi kemaraan mereka adalah yang terbaik dan mereka perlu diberikan sokongan berterusan.

“Saya tidak faham mengapa BAM takut dengan Kien Kiat-Boon Heong sedangkan mereka perlu dipisahkan segera jika mahu mengembalikan prestasi lebih baik.” Pada Terbuka China lalu, Kien Kiat-Boon Heong diaib lawan dari Russia, Vladimir Ivanov dan Ivan Sozonov 21-18, 21-18 dalam masa 37 minit pada pusingan kedua.



Oleh Asrol Awang, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment