Friday, November 22, 2013

‘Perlu nafas baru’



Kuala Lumpur: Pengkritik bola sepak, Serbegeth Singh berpendapat skuad Harimau Malaya perlu mendapat nafas baru selepas lima tahun di bawah bimbingan Datuk K Rajagobal.
Beliau yang kini menjadi Penasihat Global kepada kelab Liga Kejuaraan Blackburn Rovers berkata, skuad kebangsaan mempunyai pemain yang bagus namun prestasi yang ditunjukkan ketika ini seperti berada di takuk yang lama sejak memenangi Piala AFF pada 2010.

“Memang sudah tiba masanya untuk skuad kebangsaan memiliki ketua jurulatih yang baru. Kita memiliki pemain yang bagus tapi prestasi mereka sudah tidak berubah. Mereka perlukan suntikan baru, idea baru, gaya permainan baru untuk membawa mereka ke satu tahap lagi,” katanya.

Serbegeth atau turut dikenali sebagai Shebbie berkata demikian sebagai mengulas laporan Arena Metro semalam mengenai kenyataan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin bahawa badan induk itu tidak berminat untuk menyambung kontrak Rajagobal yang bakal berakhir 31 Disember ini.

Bagaimanapun keputusan itu hanya akan diketahui sepenuhnya selepas Mesyuarat Exco FAM Ahad ini termasuk sama ada mahu memberi peluang kepada Rajagobal untuk menghabiskan baki perlawanan kelayakan Kumpulan D Piala Asia menentang Yaman, Mac depan.

Peluang Malaysia untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia secara automatik berkubur selepas tumpas kepada Qatar 0-1 di Stadium Shah Alam Selasa lalu dan kini hanya mengharapkan slot pasukan ketiga terbaik daripada lima kumpulan untuk ke pusingan seterusnya.
FotoSerbegeth Singh
Menurut Serbegeth, FAM sepatutnya sudah menetapkan pendirian apabila mengumumkan untuk mencari pengganti Rajagobal sebelum ini.

“Kita harus berterima kasih kepada Rajagobal kerana sumbangannya membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA dan Piala AFF serta kedudukan beliau sepatutnya sudah tidak perlu dibahaskan lagi kerana FAM beberapa bulan lalu sudah memaklumkan bahawa kontrak Rajagobal tidak akan disambung apabila mengakui sedang mencari pengganti.
“FAM sepatutnya tidak boleh ubah pendirian kerana jika mereka memberi kontrak baru pasti ia akan memberikan pandangan buruk kepada mereka.

“FAM memberi tekanan kepada Rajagobal dalam melaksanakan tugasan ini (kempen kelayakan Piala Asia) apabila mengumumkan sedang mencari jurulatih baru dan tidak perlulah FAM mengubah pendirian itu pula,” katanya.



Oleh Aziman Rosdi, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment