Thursday, November 21, 2013

Pandelela Optimis Penerjun Pelapis Mampu Lakar Kejutan Di Myanmar

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg optimis bahawa penerjun pelapis kebangsaan mampu menyumbang pingat emas pada Sukan SEA ke-27 di Myanmar, bulan depan.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2012 di London itu percaya atlet pelapis mampu melakar kejutan dan tidak pulang dengan tangan kosong pada temasya dwitahunan itu.

"Saya harap mereka (penerjun pelapis) yang dipilih tidak mensia-siakan peluang. Mereka juga perlu menggunakan peluang ini untuk menimba pengalaman dan meningkatkan gaya terjunan untuk pergi lebih jauh," katanya kepada pemberita selepas dinobatkan Olahragawati Universiti Malaya (UM) di sini, semalam.

Menurutnya beliau akan menampilkan aksi terbaik kerana atlet negara lain sudah tentu berusaha bersungguh-sungguh untuk memberi saingan bagi merebut pingat emas di Myanmar.

Pandalela, yang mengikuti jurusan Sarjana Muda Sains Sukan di UM, akan mengambil bahagian dalam satu acara iaitu 10m platform individu pada temasya berkenaan.

Dalam pada itu, Pandelela berkata beliau perlu berusaha keras dan berada di tahap terpuji sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan dan Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland, masing-masing pada tahun depan.

Selain Pandelela, penerjun wanita yang bakal menggalas cabaran negara di Myanmar ialah Leong Mun Yee, Cheong Jun Hoong, Wendy Ng Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Loh Zhiayi.

Penerjun lelaki pula terdiri daripada Ooi Tze Liang, Muhd Amsyar Azman, Chew Yi Wei, Danial Sabri dan Muhd Nazreen Abdullah.

Temasya Sukan SEA akan berlangsung dari 11 hingga 22 Dis ini.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment