Monday, November 11, 2013

MTA persatuan sah

Kuala Terengganu: Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA/WTA) kesal apabila masih ada pihak melabel persatuan itu bergerak secara haram walaupun Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 16 Mei lalu sudah memutuskan ia persatuan sah selepas rayuan pembatalan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan bekas Pesuruhjaya Sukan Nik Mahmud Nik Yusof ditolak.

Setiausaha Agung MTA Eddie Tuan berkata, pihaknya berharap Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengembalikan status MTA sebagai ahli penuh MOM bagi memastikan orang awam dan pihak tertentu berhenti daripada melabel MTA sebagai persatuan haram.


“Empat kali permohonan rayuan dibuat MTA kepada MOM untuk mendapatkan status keahlian penuh tapi hingga kini tiada sebarang kata putus dan jawapan diberikan.

“Jelas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Rohana Yusof pada 4 April 2012, pembatalan MTA sebelum ini tidak sah seterusnya mengembalikan status persatuan itu sebagai badan induk sukan taekwondo Malaysia, malah keputusan Mahkamah Rayuan pada 16 Mei lalu menolak rayuan pembatalan dan mengesahkan MTA adalah badan induk sah untuk menguruskan sukan taekwondo negara,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Eddie berkata, keputusan kali kedua itu satu berita positif bagi sukan taekwondo negara memandangkan isu itu sudah lama dipertikai.

“Kita harap selepas ini tidak timbul lagi sebarang isu dan berharap pihak bertanggungjawab turut membantu MTA mengembangkan lagi sukan taekwondo negara.

“Kami menunggu pengesahan rasmi MOM dan mengalu-alukan pihak yang belum menjadi ahli menyertai MTA kerana persatuan ini sentiasa terbuka untuk rakyat Malaysia.”
Kemelut MTA bermula apabila Pesuruhjaya Sukan membatalkan pendaftaran persatuan itu pada Februari 2010 kerana didakwa menghalang pembangunan sukan taekwondo negara.

Sejak MTA dibubar, Taekwondo Malaysia (TM) mengambil alih tampuk pimpinan sukan itu sebelum MTA membuat rayuan terhadap keputusan itu kepada Menteri Belia dan Sukan selaras dengan Akta Pembangunan Sukan 1997.


Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli - Arena, Harian Metro

No comments:

Post a Comment