Thursday, November 14, 2013

MSN Rangka Program Pembangunan Lahir Jaguh Sukan Pelayaran Dunia

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) akan melancarkan program pembangunan sukan pelayaran lebih komprehensif dengan memperkenalkan Liga Layar Malaysia dan Program Belia Belayar bagi melahirkan atlet yang dapat mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong berkata program terbaru itu adalah inisiatif yang dijalankan seiring dengan penganjuran Piala Monsun bagi menyediakan platform kepada pelayar tempatan belajar, bersaing dan mempersiapkan diri menjadi juara dunia.

"Liga Layar Malaysia akan dianjur secara liga di setiap negeri dan pelayar yang mengumpul mata tertinggi akan mewakili negara ke Piala Monsun. Program ini dijangka dapat dijalankan sepenuhnya mulai tahun depan.

"Program Belia Belayar pula dianjur bersempena Liga Layar bagi memupuk minat dan memberi pendedahan awal kepada anak muda tempatan menceburi sukan ini seterusnya mengembangkan bakat mereka ke tahap lebih tinggi," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Zolkples berkata pelayaran adalah antara sukan yang sering menyumbang pingat di peringkat antarabangsa khususnya di Sukan SEA dan Sukan Asia, manakala atlet pelayaran juga pernah melayakkan diri ke Sukan Olimpik menerusi Kevin Lim (Sukan Olimpik 1996, 2000, 2004 dan 2008) serta Mohd Khairulnizam Mohd Afendy pada Sukan Olimpik London 2012.

MSN sentiasa memberi tumpuan terhadap pembangunan sukan pelayaran terutama dengan menyediakan Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan Langkawi yang kini digunakan untuk program latihan atlet elit dan pelapis kebangsaan.

Zolkples berkata setakat ini, seramai 17 atlet elit dan 20 atlet pelapis sedang menjalani latihan di bawah kendalian lima jurulatih sepenuh masa.

Katanya MSN dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri dan Persatuan Pelayaran Negeri juga menubuhkan 13 pusat latihan di seluruh negara membabitkan 249 atlet dan mereka kini menjalani latihan harian di bawah kendalian 19 jurulatih yang dikenal pasti.

"Dengan adanya penganjuran Liga Layar Malaysia, ia akan memberi peluang dan pendedahan kepada atlet negeri bersaing secara konsisten, sekali gus dapat meningkatkan prestasi mereka bersaing di kejohanan lebih besar.

"Sukan pelayaran perlu mempunyai struktur pertandingan tersusun dan kompetitif di semua peringkat. Sehubungan itu penganjuran pertandingan perlu diperbanyakkan bagi membantu atlet pelapis dan elit negara mempersiapkan diri sebelum menghadapi kejohanan lebih besar.

"Penganjuran Liga Layar Malaysia pula menyaksikan sukan ini dapat dipopularkan secara tempatan dan menarik minat anak muda menceburinya di bawah program Belia Belayar yang dianjurkan secara seiring nanti," katanya.

Zolkples berkata penyertaan Program Belia Belayar terbuka kepada kanak-kanak dan remaja tempatan dengan sasaran penyertaan sekurang-kurangnya 2,000 orang di setiap lokasi.

Program empat hari itu merangkumi gabungan kelas dan sesi di air dengan menekankan aspek asas pelayaran, demonstrasi pelayaran, latihan dan sesi perlumbaan dalam kalangan peserta.

Program pembangunan sukan pelayaran itu juga dapat mewujud atau menaik taraf kemudahan sukan pelayaran di seluruh negara, di samping membuka lebih banyak peluang dan akses kepada generasi muda untuk turut serta selain meningkatkan prestasi atlet sedia ada.

Beliau berkata MSN akan bekerjasama dengan Persatuan Pelayaran Malaysia untuk menjayakan program itu yang bermatlamat menambah kemahiran dan pengetahuan jurulatih tempatan supaya lebih kompeten dalam mengendalikan latihan dan persediaan atlet mereka.

Liga Layar Malaysia dan Program Belia Belayar akan meningkatkan kualiti dan hasil kerja pegawai teknikal sukan itu kerana ia membabitkan lebih banyak pertandingan dalam setahun, katanya.

Zolkples berkata Liga Layar Malaysia dan Belia Belayar tidak dapat diadakan mengikut perancangan awal di setiap negeri tahun ini kerana kesuntukan masa.

Namun ia akan diadakan sempena Kejohanan Piala Monsun di Kuala Terengganu dari 15-18 Nov ini untuk Liga Layar Malaysia dan Program Belia Belayar pula diadakan pada 19-22 Nov ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment