Thursday, November 21, 2013

MOM Cadang MTA Jadi Ahli Gabungan Taekwondo M'sia

PETALING JAYA, 20 Nov (Bernama) -- Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mencadangkan agar Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) menjadi ahli gabungan Taekwondo Malaysia (TM) bagi memastikan sukan berkenaan mampu terus berkembang maju.

Setiausaha Agung MOM Datuk Sieh Kok Chi berkata cadangan berkenaan sekali gus boleh mengelakkan sebarang konflik antara dua badan berkenaan yang masih belum menemui jalan penyelesaian sehingga kini.

"TM telah mendapat mandat daripada Persekutuan Taekwondo Dunia (WTF) untuk menjadi badan induk sukan taekwondo (yang sah) di negara ini malah Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) serta MOM sendiri turut memberi pengiktirafan kepada TM.

"Jika mereka (berdua) bergabung, maka segala urusan atlet taekwondo negara dapat diselesaikan dengan mudah tanpa perlu melalui prosedur di mahkamah," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengumuman TV3 selaku rakan penyiar Sukan SEA ke 27, di sini, Rabu.

Berkongsi pandangan yang sama ialah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong yang turut memberi sokongan penuh supaya MTA dan TM bergabung sebagai satu identiti sukan taekwondo negara yang sah.

"Saya tidak menyebelahi mana-mana pihak namun TM telah mendapat pengiktirafan daripada MOM dan PPS, dan (bagi saya) apa guna ada atlet bagus, jika mereka tidak dapat bertanding kerana ianya hanya akan merugikan negara," katanya.

Zolkples berkata penggabungan kedua-dua badan berkenaan membolehkan MTA kembali menghantar atletnya beraksi pada beberapa kejohanan sukan terkemuka seperti Sukan SEA, Sukan Komanwel, Sukan Asia mahupun Sukan Olimpik di bawah tiket TM.

Kemelut MTA bermula apabila Pesuruhjaya Sukan membatalkan pendaftaran persatuan itu pada Feb 2010 kerana didakwa menghalang pembangunan sukan taekwondo negara sebelum diambil alih oleh TM.

Isu berkenaan kembali hangat diperkatakan selepas Setiausaha Agung MTA, Eddie Tuan mendakwa status pimpinan sukan taekwondo negara perlu dikembalikan kepada mereka susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada 16 Mei lepas yang mengesahkan MTA masih kekal sebagai badan induk sukan taekwondo negara.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment