Monday, November 11, 2013

Mohd Nurrahimin Mahu Intai Peluang Beraksi Di Sukan Komanwel 2014

PETALING JAYA, 10 Nov (Bernama) -- Atlet menembak kebangsaan Mohd Nurrahimin Abdul Halim mahu meningkatkan mutu bidikan bagi acara 50m rifle 3 posisi individu lelaki untuk layak beraksi pada temasya Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland tahun depan.

Atlet berusia 20 tahun itu berkata beliau perlu membuat persiapan rapi dengan memperbaiki kelemahan serta meningkatkan prestasinya dalam setiap kejohanan yang akan diadakan tahun depan sebelum terpilih mewakili negara ke temasya berprestij itu nanti.

"Sasaran saya ialah layak beraksi di Sukan Komanwel, secara keseluruhan saya berpuas hati dengan prestasi tahun ini tetapi perlu lebih fokus pada tahun depan. Banyak lagi perkara yang perlu ditingkatkan lagi.

"Saya akan menggunakan pengalaman ketika beraksi di temasya Sukan Komanwel di New Delhi pada 2010 sekiranya terpilih mewakili negara nanti (Sukan Komanwel)," katanya kepada pemberita pada Kejohanan Menembak Asia Tenggara ke-37 di Lapang Sasar Kebangsaan, Subang, di sini Ahad.

Pada Kejohanan Menembak Asia Tenggara ke-37 itu, Mohd Nurrahimin yang mengambil bahagian dalam acara 50m rifle 3 posisi individu lelaki meraih pingat perak dengan bidikan 441.9 mata.

Pingat emas menjadi milik penembak dari Vietnam, Nguyen Duy Hoang dengan jumlah bidikan 444.0 mata. Acara itu disertai dua negara dan setiap negara hanya diberikan satu pingat.

Tempat ketiga acara itu menjadi milik atlet menembak negara, Nik Muhammad A'imullah Supardi dengan 429.6 mata.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment