Thursday, November 28, 2013

MAS taja Jersi Putih LTdL 2014


zOLKPLES (dua dari kanan) ketika menerima replika tajaan daripada MAS untuk LTdL 2014 di Kelana Jaya semalam. Turut kelihatan Emir Abdul Jalal (dua dari kiri) dan Muzammil (tiga dari kiri).


PENERBANGAN Malaysia (MAS) sekali lagi tampil untuk menaja Jersi Putih yang bakal menjadi rebutan pelumba terbaik Asia pada Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014 bermula 27 Februari hingga 8 Mac depan.

Lebih menarik, MAS tampil selaku penaja pertama LTdL edisi ke-19 ini dengan anggaran tajaan lebih RM1 juta.

Naib Presiden Kanan Serantau Penerbangan Malaysia, Muzammil Mohamad berkata, ia adalah satu penghormatan besar buat MAS untuk terlibat sekali lagi pada jelajah paling berprestij itu.
Tambahnya, MAS turut memberi ganjaran kepada setiap pelumba negara sekiranya berjaya memenangi salah satu daripada sepuluh peringkat perlumbaan.

“Kami akan menawarkan dua tiket penerbangan domestik atau ke rantau Asia Tenggara pergi dan balik secara percuma khusus kepada pelumba negara yang memenangi mana-mana daripada sepuluh peringkat perlumbaan.

“Malah, jika (pelumba negara) berjaya memenangi Jersi Putih keseluruhan, dia akan mendapat tiket penerbangan percuma ke Paris bagi menyaksikan Le Tour de France,” katanya pada majlis penyerahan tajaan di Akademi Penerbangan Malaysia di Kelana Jaya, Selangor semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Penganjur LTdL, Datuk Seri Zolkples Embong, Naib Presiden Kanan Ketua Strategik Komunikasi MAS, Datuk Najmuddin Abdullah dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur LTdL, Datuk Ab Jalil Abdullah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi LTdL, Emir Abdul Jalal berkata, LTdL kini dianggap sebagai medan perlumbaan terbaik yang disertai barisan pelumba terbaik dunia.

Jelasnya lagi, beliau tidak risau dengan peluang yang bakal diperoleh pelumba negara di kejohanan itu nanti.

“Saya tak takut dengan peluang mereka. Sejak daripada awal kita selalu memikirkan peluang mereka tetapi mereka sentiasa berada di atas podium.

“Walaupun tidak berada di atas podium pada tahun lepas, namun mereka terus memberikan persembahan yang menarik dan terus mencabar pelumba antarabangsa.

“Semua pelumba harus bersedia sepenuhnya kerana mereka akan bersaing dengan pelumba handalan dunia. Jadi, ini adalah cabaran yang mereka perlu tempuhi,” katanya.

Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
zuhaily.badlishah@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment