Monday, November 11, 2013

Malaysia pertahan kilauan gangsa

SKUAD hoki negara mempertahankan pingat gangsa Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia apabila menewaskan China 3-0 dalam penentuan ketiga dan keempat di Kakamigahara, Jepun semalam.
Ini merupakan kali ketiga berturut-turut skuad negara memenangi pingat gangsa sejak edisi 2011 di Ordos, China dan 2012 di Doha, Qatar.

Jurulatih negara, Paul Revington jelas sekali gembira dengan prestasi keseluruhan barisan pemainnya meskipun gagal merealisasikan misi sebenar layak ke final.

“Meskipun gagal layak ke final, kita masih boleh berbangga dengan pencapaian pingat gangsa ini buat kali ketiga.

“Kita bermula agak perlahan pada awal kempen ini, namun mula menemui rentak sebenar di penghujung kejohanan, jadi ia masih lagi sesuatu yang postif,” jelas Revington.

Menurut Revington, objektif utama pada kejohanan itu adalah untuk melihat tahap kemampuan beberapa pemain muda dan veteran yang diberi peluang sekali lagi menyarung jersi negara.
Pemain tersebut adalah bekas kapten, Mohd. Madzli Ikmar, Engku Abdul Malik Engku Muhammad, Megat Azrafiq Megat Termizi, Ismail Abu dan seorang pemain baharu, Amirullah Zainol.

“Kita memerlukan satu kumpulan pemain yang besar sekiranya mahu memberi cabaran sebenar di pentas antarabangsa.

“Pada kejohanan ini kami menyenaraikan empat bekas pemain negara dan seorang pemain baharu, jadi ia sudah pasti memberi banyak pilihan dan kekuatan kepada skuad ini pada masa hadapan.
“Saya sendiri berpuas hati dengan prestasi kelima pemain-pemain ini dan saya rasa mereka berjaya menunjukkan potensi yang baik sepanjang kempen ini,” tambahnya.

Pada aksi semalam, penyerang negara, Faizal Saari meledak dua gol, satu menerusi pukulan sudut penalti seawal minit kedua dan gol padang pada minit ke-51.
Satu lagi gol dijaringkan oleh Muhammad Azammi Adabi pada minit ke-46.

Faizal turut dinobatkan selaku penjaring terbanyak kejohanan dengan sembilan gol manakala pemain tengah negara, Muhd. Sukri Mutalib menerima penghargaan istimewa kerana membuat penampilan antarabangsa ke-200 dalam kariernya pada perlawanan tersebut.

Kejayaan skuad lelaki negara ini juga mengikut jejak langkah skuad wanita Malaysia kendalian Muhd. Nasihin Nubli yang turut memenangi pingat gangsa buat kali pertama selepas menewaskan China 3-1 kelmarin.
Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril.abdullah@kosmo.com.my
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1111&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz2kIRf37pd

No comments:

Post a Comment