Friday, November 08, 2013

Lebih Separuh Acara Pada Sukan Sea 2017 Terdiri Daripada Acara Olimpik


KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menjangkakan lebih separuh daripada acara yang dipertandingkan pada Sukan SEA 2017 melibatkan acara Sukan Olimpik.

Setiausaha Kehormat MOM Datuk Sieh Kok Chi berkata jangkaan itu berdasarkan pengalaman lepas ketika Malaysia menjadi tuan rumah temasya berkenaan pada 2001.

"Pada Sukan SEA 2001, daripada 32 acara yang dipertandingkan, 22 adalah acara Sukan Olimpik manakala baki 10 acara sering dipertandingkan di peringkat Sukan Asia dan Sukan SEA.

"Pada pandangan saya, kemungkinan besar acara yang dipertandingkan pada Sukan SEA 2017 menyamai acara yang dipertandingkan pada 2001," katanya kepada Bernama di sini Khamis.

Dua hari lepas, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengesahkan Malaysia bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017 selepas jemaah menteri meluluskan pembentangan pada mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan minggu lepas.

Sebelum itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berjanji tidak akan menjadikan Sukan SEA 2017 sebagai temasya 'sarkas' dengan mempertandingkan acara sukan yang 'merapu' dan tidak relevan.

Untuk rekod, kontinjen negara muncul juara keseluruhan apabila Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2001 dengan meraih 111 pingat emas, dengan tidak mempertandingkan acara yang 'merapu'.

Mengulas lanjut, Sieh bagaimanapun berkata keputusan berhubung acara yang bakal dipertandingkan pada temasya 2017 itu akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Pengelola yang terdiri daripada Kementerian Belia dan Sukan, MSN serta MOM.

"Sudah pasti acara yang dipertandingkan pada Sukan SEA 2017 adalah sukan yang popular di Malaysia. Kita tiada sukan tradisional seperti kempo atau vovinam...yang ada (sukan tradisional Malaysia) pencak silat. Itu pun acara ini sudah dipertandingkan sejak Sukan SEA 1989.

"Jadi, tiada masalah kalau kita senaraikan acara silat pada 2017. Kalau dilihat kepada pengalaman, acara yang kita pertandingkan, tidak timbul kontroversi," katanya.

Pada setiap kali penganjuran Sukan SEA, acara yang dipertandingkan sentiasa menimbulkan kontroversi kerana tuan rumah akan menyenarai acara yang memberi kelebihan kepada mereka sedangkan sukan tradisional berkenaan tidak dipertandingkan di temasya lebih besar seperti Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

Dalam pada itu, Sieh berkata atlet dan pegawai ke Sukan SEA 2013 di Myanmar, bulan depan, tidak perlu bimbang dengan aspek keselamatan berikutan jaminan yang diberikan tuan rumah berhubung perkara tersebut.

"Semasa Persidangan Sukan Untuk Semua Asean (di Putrajaya akhir bulan lepas), saya bertemu rakan sejawat saya dari Myanmar. Beliau memberi jaminan, aspek keselamatan atlet dan pegawai akan menjadi keutamaan mereka," katanya.

Bagaimanapun, Sieh mengingatkan kontinjen negara supaya tidak mengambil mudah aspek keselamatan dan mereka perlu patuh dengan arahan atau garis panduan yang akan dikeluarkan ketika berada di negara berkenaan.

Sebelum ini, beberapa insiden letupan bom berlaku di Myanmar termasuk di sebuah hotel mewah di Yangon yang menyebabkan seorang warga Amerika Syarikat cedera.

Acara Sukan SEA 2013 dari 11 hingga 22 Dis ini akan diadakan di beberapa tempat di Myanmar seperti Yangon, Naypyitaw, Mandalay dan Ngwe Saung.

Oleh Elmi Rizal Alias -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment