Monday, November 18, 2013

'Kembalikan wang saya'

ROMPIN - Datuk Seri Shahidan Kassim tetap mahukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memulangkan semula wang denda RM39,000 yang telah dibayarnya atas kesalahan melanggar Artikel 88 badan itu, pada Februari lalu. 

Shahidan juga mahu FAM memberi penjelasan secara bertulis mengenai kedudukannya selepas Artikel 88 di bawah Status FAM 2010-2014 dipinda.

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis itu berkata, setakat ini beliau tidak mendapat sebarang kenyataan rasmi daripada badan induk tersebut mengenai kedudukannya yang digantung dua tahun walaupun peraturan tersebut dipinda.

"Saya mahu FAM beri penjelasan mengenai kedudukan hukuman yang dikenakan ke atas saya. Saya dihukum tetapi undang-undang tersebut dimansuhkan.

"Sama seperti pesalah di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Bila dimansuhkan mereka dibebaskan walaupun ada dalam kalangan mereka masih berbaki hukuman setahun atau lebih. Mereka diampunkan," katanya selepas melancarkan Program Jiwa Murni Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Sahabat Maritim Malaysia Bersama Komuniti di Kuala Rompin di sini semalam.

Menurut Shahidan, apa juga alasan diberikan FAM, beliau mahu wang denda tersebut dipulangkan kerana Artikel 88 telah dipinda.

"Pulangkan duit tersebut kerana saya berniat untuk sedekahkan kepada anak-anak yatim.
"Sehubungan itu, saya gesa Setiausaha FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin bagi penjelasan kenapa hukuman dan denda diteruskan sedangkan telah dipinda," jelasnya.

Sementara itu, beliau meminta FAM lebih matang dan menerima apa jua bentuk teguran membina demi kebaikan badan induk itu pada masa akan datang dan disegani.

"Teguran Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin seharusnya diterima dengan terbuka demi kebaikan FAM. Bukannya melompat sana sini.

"Saya sendiri akan pertahankan FAM jika teguran tersebut bersifat negatif tetapi apa dinyatakan Khairy adalah demi kebaikan FAM," ujarnya.



Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment