Wednesday, November 13, 2013

KBS Belum Berhasrat Serahkan Penganjuran LTdL Kepada Swasta - Khairy

PUTRAJAYA, 12 Nov (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) belum berhasrat untuk menyerahkan hak penganjuran perlumbaan jelajah berbasikal berprestij di rantau ini, Le Tour de Langkawi (LTdL) kepada pihak swasta.

Menteri berkenaan Khairy Jamaluddin berkata perkara itu memerlukan pertimbangan teliti kerana KBS tidak mahu standard LTdL terjejas jika penganjurannya dilaksanakan oleh swasta.

"Kita tidak mahu memberikan hak penganjuran (LTdL) kepada mereka yang tidak mampu mengekalkan tahap kecemerlangan penganjuran yang kita peroleh (daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) selama empat tahun berturut-turut," katanya dalam sidang berita selepas melancarkan edisi ke-19 LTdL di Dewan Serbaguna KBS di sini Selasa.

Turut hadir Ketua Setiausaha KBS Datuk Jamil Salleh, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong dan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abdul Wahab.

Khairy berkata KBS dan MSN telah menerima pengiktirafan UCI sebagai penganjur terbaik dengan mencapai tahap 'Excellent Level of Organisation' selama empat tahun berturut-turut.

Khairy berkata bagi edisi ke-19 LTdL, MSN masih menjadi penganjur perlumbaan itu yang berlangsung dari 27 Feb hingga 8 Mac depan merangkumi jarak sejauh 1,506.5km.

Menurutnya liputan meluas media tempatan dan antarabangsa mengenai perlumbaan itu juga boleh menjadi platform mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2014 dengan lebih efektif.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment