Wednesday, November 13, 2013

Isu Khairy-FAM jadi agenda Exco - Hamidin

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin mengalu-alukan kesediaan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin untuk bertemu pihaknya, malah mungkin menjadikannya antara agenda penting mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) persatuan pada 24 November ini.

"Kami juga tiada masalah untuk membincangkan apa sahaja perkara demi kebaikan bola sepak negara termasuk pelan pembangunan sukan itu bagi peringkat umur yang bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Januari tahun depan.

"Beliau pun pernah menjadi sebahagian FAM (Timbalan Presiden persatuan) jadi pastinya kami mengalu-alukan kehadirannya," katanya mengenai kenyataan Khairy Jamaluddin kelmarin yang seperti mengenakan syarat tertentu iaitu cuma mahu bersemuka pengurusan tertinggi atau pembuat keputusan persatuan.

Namun, Hamidin enggan memanjangkan isu kenyataan Khairy yang pada Jumaat lalu, menganggap sistem jualan tiket Piala Malaysia dan Piala FA seperti zaman purba, malah menuntut Setiausaha Agung FAM itu mengakui kesilapannya dan tidak cuba menegaskan bahawa persatuan itu yang lebih arif.

Menteri Belia dan Sukan itu terdahulu mengulas saranan Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM, Datuk Takiyuddin Hassan supaya beliau berhenti mengkritik persatuan secara terbuka sebaliknya mengatur pertemuan dengan Exco persatuan jika mempunyai cadangan membina dalam memperbaiki perjalanan bola sepak negara.

Khairy juga terheret dengan 'perang mulut dalam media' dengan bekas bek kanan kebangsaan yang juga bekas ahli Majlis FAM, Datuk Jamal Nasir Ismail yang turut cuba membandingkan kelantangannya dengan pengurusan skuad realiti TV bola sepak oleh menteri itu, MyTeam yang hanya bertahan tiga tahun.

Kata Hamidin, beliau belum memaklumkan kepada Sultan Ahmad Shah berhubung kesediaan Khairy itu tetapi mungkin melakukannya sekembalinya Presiden FAM itu dari luar negara, minggu depan.
"Saya belum berpeluang berbuat begitu memandangkan Tuanku Presiden masih berada di Amerika Syarikat. Tunggulah baginda pulang ke tanah air. Kemungkinan besar juga kami cuba mengetengahkannya sebagai agenda Exco FAM (24 November)," katanya.

No comments:

Post a Comment