Thursday, November 14, 2013

Hentikan dakwaan palsumu MTA!

Kuala Lumpur: “Mereka nak buat dakwaan apapun buatlah sebab yang penting Taekwondo Malaysia (TM) satu-satunya persatuan yang mendapat pengiktirafan Persekutuan Taekwondo Dunia (WTF).”
Demikian kenyataan Timbalan Presiden TM Datuk Samson Maman membalas dakwaan Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) bahawa mereka adalah persatuan yang sah seperti dilaporkan Arena Metro, baru-baru ini.

Kesal dengan kenyataan dikeluarkan Eddie Tuan yang mendakwa beliau sebagai Setiausaha Agung MTA, Samson meminta persatuan yang tidak sah itu supaya menghentikan segala dakwaan mereka.
“Untuk pengetahuan semua, WTF hanya mengiktiraf kami sebagai ahli gabungan. Bermakna, apa saja membabitkan WTF termasuk penggunaan logo mereka, hanya ahli gabungan seperti TM dibenarkan menggunakannya.

“Sekiranya MTA menggunakan logo WTF, ia sebenarnya satu kesalahan besar kerana badan induk dunia itu sememangnya tidak pernah mengiktiraf MTA.

“Malah WTF sudah menghantar surat kepada MTA meminta supaya mereka berhenti daripada menggunakan logo WTF,” katanya.
Apa yang membimbangkan Samson dan TM ialah sekiranya ada atlet yang bernaung di bawah MTA, masa depan mereka akan samar.

“Ini kerana, hanya atlet bernaung di bawah TM berpeluang untuk beraksi pada pentas antarabangsa seperti Sukan SEA dan Sukan Asia,” katanya.
Eddie sebelum ini berkata, beliau kesal masih ada pihak yang melabel persatuan itu bergerak secara haram walaupun Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 16 Mei lalu sudah memutuskan ia persatuan sah selepas rayuan pembatalan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan bekas Pesuruhjaya Sukan Nik Mahmud Nik Yusof ditolak.

Justeru, Eddie berharap Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dapat mengembalikan status MTA sebagai ahli penuh MOM bagi memastikan orang awam dan pihak tertentu berhenti daripada melabel MTA sebagai persatuan haram.

Kemelut MTA bermula apabila Pesuruhjaya Sukan membatalkan pendaftaran persatuan itu pada Februari 2010 kerana didakwa menghalang pembangunan sukan taekwondo negara.



Oleh Saiful Affendy Sapran, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment