Thursday, November 07, 2013

Fatehah makin mantap: Beasley

Kuala Lumpur: Pelumba pecut berbasikal negara, Fatehah Mustapa mampu mencapai kejayaan meyakinkan berdasarkan prestasinya yang semakin meningkat, menurut pandangan jurulatih kebangsaan negara, John Beasley.

Beasley puas hati dengan perkembangan ditunjukkan pelumba Terengganu itu terutama selepas tamatnya temasya Sukan Olimpik London dengan Fatehah kini menumpukan kepada dua acara iaitu keirin dan pecut. Katanya, banyak perubahan prestasi dipamer Fatehah dan dia sudah membuktikannya pada siri Piala Dunia Klasik pertama di Manchester, Ahad lalu.

“Saya lihat Fatehah semakin matang mental dan fizikal. Dia sudah tahu apa yang perlu dilakukan dengan prestasi semakin meningkat.

“Kematangan dari segi mental dan fizikal ini amat diperlukan terutama dalam perlumbaan kecil dan biasanya ia mengambil masa lebih lama dan itulah yang saya tekankan ketika bekerjasama dengan atlet Australia,” katanya. Fatehah beraksi cemerlang apabila mara ke pusingan akhir acara keirin di Siri Piala Dunia Klasik pertama namun nasib tidak menyebelahinya apabila menduduki tempat keenam acara itu selepas dihimpit pelumba Hong Kong yang juga musuh tradisinya, Lee  Wai  Sze.

 Fatehah terpaksa berpuas hati di tempat terakhir acara final keirin yang dimenangi oleh Kristina Vogel, Rebecca Angharad James kedua dan Sandie Clair ketiga. “Saya amat puas hati kerana layak ke final terutama apabila menerima tentangan sengit daripada semua pelumba. Daripada pusingan pertama lagi saingan amat hebat. Apapun saya tetap gembira dengan keputusan itu.

“Saya harap dapat melakukan lebih baik di Mexico selepas ini dengan sasaran memburu pingat,” katanya. Siri Piala Dunia Klasik kedua berlangsung di Aguascalientes, Mexico pada 5 hingga 7 Disember ini.



Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment