Thursday, November 07, 2013

Dah lama rancang...


Kuala Lumpur: Sistem jualan tiket dalam talian ‘online ticketing’ sudah lama dalam perancangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) namun masih ada beberapa kekangan yang menyebabkan ia belum dapat dilaksanakan.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, penjualan tiket dalam talian mungkin boleh membanteras kegiatan ulat tiket namun ia menyukarkan pembahagian tiket secara adil kepada penyokong pasukan bertanding.

“FAM menerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu sudah mengkaji sistem kaedah pelaksanaan jualan tiket online dua, tiga tahun lalu.
“Sistem jualan tiket online ini ada kelebihan dan kekurangan.

“Penyokong masih perlu beratur untuk menebus tiket di kaunter meskipun membeli menerusi online dan jika ia membabitkan jumlah penyokong yang ramai, mungkin kekecohan juga boleh berlaku ketika penyokong mahu menebus tiket.

“Jika sebelum ini kita boleh bahagikan tiket secara adil kepada penyokong pasukan bertanding tapi jika menjual secara online, penjualan lebih terbuka. “Sebagai contoh kita serahkan 30,000 tiket kepada penyokong Pahang dan Kelantan pada final Piala Malaysia kerana kita tidak mahu pembelian tiket didominasi satu pasukan saja,” katanya kepada Arena Metro semalam.

FotoPENYOKONG berasak-asak mendapatkan tiket final Piala Malaysia.
Hamidin berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin supaya jualan tiket dalam talian segera dilaksanakan berikutan timbul kekecohan pembelian tiket serta kegiatan ulat tiket yang menjual tiket dengan harga lebih mahal.

Lebih mengecewakan apabila ramai penyokong tidak dapat memasuki Stadium Shah Alam bagi menyaksikan final Piala Malaysia Ahad lalu kerana dikesan memiliki tiket palsu.
Menurut Hamidin pihaknya tidak menolak penggunaan sistem jualan tiket dalam talian selepas ini tapi mereka kini mengkaji mekanisme terbaik melaksanakannya.

“Kami menerima secara terbuka pandangan semua pihak tapi buat masa ini kajian masih dilakukan jawatankuasa terbabit. Kami sentiasa berusaha membuat penambahbaikan demi kesenangan penyokong.” Mengulas mengenai isu tiket palsu dibangkitkan Arena Metro sebelum ini Hamidin berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis dan berharap pihak terbabit dibawa ke muka pengadilan.

“Kami sudah buat laporan hari ini (semalam), mungkin ada sindiket mengeluarkan tiket palsu ini. Kami harap polis dapat mencari pihak yang tidak bertanggungjawab ini menerusi maklumat diperoleh daripada penyokong yang membeli tiket palsu itu. “Saya harap penyokong lebih waspada ketika membeli tiket dengan pihak tertentu selepas ini.” Pada masa sama beliau turut diminta mengulas mengenai penemuan sepucuk pistol jenis Browning bersama tujuh butir peluru oleh polis dalam tandas lelaki di Kuadron C Stadium Shah Alam pada final Piala Malaysia Ahad lalu yang dianggap oleh Khairy satu kegagalan kawalan keselamatan.

“Tidak wajar untuk meletakkan kesalahan ini di bahu FAM saja kerana polis juga turut memainkan peranan. Mungkin ada sedikit kelonggaran hingga individu yang membawa pistol itu boleh melepasi kawalan keselamatan dan mungkin juga pistol itu diberikan orang luar kepada individu yang sudah masuk ke stadium menerusi pintu pagar. “Bukan mudah mengawal 75,000 penyokong tapi kami sudah cuba yang terbaik dan akan terus berusaha meningkatkan kawalan keselamatan pada masa akan datang,” kata Hamidin.



Oleh Aziman Rosdi, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment