Thursday, November 14, 2013

Chong Wei lega dapat berehat

KUALA LUMPUR - Jadual ketat sepanjang tahun sedikit sebanyak memberi kesan kepada pemain badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei, namun kecederaan lama buku lali kanan yang kembali menghantuinya sejak kebelakangan ini membolehkannya berehat buat seketika.

Bagaimanapun, pemain berusia 31 tahun itu mengakui kecederaan tersebut tidak membimbangkan, malah semakin pulih.

"Kecederaan buku lali saya semakin baik dan saya sudah menemui doktor baru-baru ini. Punca utama kenapa ia kembali menghantui saya mungkin kerana terlalu banyak beraksi dalam kejohanan," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan ringan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Jelas pemain kelahiran Bukit Mertajam itu, dia sekarang ini perlu banyak berehat dan dalam masa yang sama tetap meneruskan latihan seperti biasa tetapi lebih ringan seperti sebelum ini.

Chong Wei pulang ke tanah air selepas berakhir Siri Super Premier Terbuka Denmark 2013 dan Siri Super Terbuka Perancis 2013 bulan lepas.
Disebabkan kecederaan yang dialaminya, dia tidak beraksi pada Super Siri Premier China 2013 yang bermula, kelmarin.

"Akibat daripada tidak beraksi di Shanghai mungkin saya akan didenda tetapi apa boleh buat saya perlu berehat. Tentang Super Siri Terbuka Hong Kong saya belum pasti lagi akan beraksi atau tidak, kena tengok keadaan kecederaan saya dahulu," jelas Chong Wei.

Chong Wei terpaksa menarik diri daripada Piala Thomas 2012 setelah cedera di buku lali kanan ketika beraksi pada perlawanan peringkat kumpulan, ketika itu dia sedang mendahului 2-0 dalam set pertama menentang perseorangan Denmark Peter Hoeg Gade sebelum terseliuh ketika cuba menyambut pukulan lawannya di bahagian belakang gelanggang.

Pada masa yang sama, Chong Wei juga begitu kagum dengan keberanian Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang bukan sahaja berani bersuara terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetapi terhadap semua perkara yang dilihatnya tidak betul tidak kira dalam apa jenis sukan sekali pun.

"Dia seorang yang berani, lantang bersuara dan dalam masa yang sama sangat aktif di laman sosial, Twitter.

''Dia juga begitu baik dan sangat mengambil berat tentang saya. Kami pernah berjumpa dengannya dalam satu perlawanan pertunjukkan bola keranjang di Stadium Putra, Bukit Jalil.
''Dia menegur saya dan memberi nasihat suruh saya berehat selepas mengambil bahagian dalam banyak kejohanan,'' katanya.

Peluang berehat dan tidak menyertai mana-mana kejohanan sepanjang November ini digunakan sebaiknya untuk bersama anak sulungnya, Kingston Lee yang kini sudah menjangkau tujuh bulan.
"Saya gembira dan setiap hari selepas pulang daripada berlatih saya akan bermain dengannya," kata Chong Wei yang menamatkan zaman bujang pada November tahun lalu dengan bekas pemain badminton wanita negara, Wong Mew Choo.

No comments:

Post a Comment