Friday, November 15, 2013

Chong Wei boleh lupakan Siri Super Akhir jika masih tidak cergas

KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff berkata, badan badminton itu akan memantau perkembangan jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei yang ketika ini dibelenggu kecederaan.

Jika dia masih tidak cukup cergas sepenuhnya, BAM bersedia untuk membenarkan Chong Wei melupakan Siri Super Akhir yang akan diadakan di Kuala Lumpur, bulan depan.
"Kita kena lihat keadaan fizikal seorang pemain untuk mereka berada pada prestasi terbaik, jika Chong Wei masih lagi dibelenggu masalah ini dia juga berkemungkinan tidak akan beraksi di Siri Super Akhir 2013 bulan depan.

"Semuanya bergantung kepada keadaannya, jika tidak ia akan memberi impak bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi negara dan juga BAM.

"Semua orang juga harus faham dengan masalah ini, ia disebabkan oleh faktor umur," katanya pada sidang akhbar di Bukit Kiara, semalam.

Tahap kecergasan dan kecederaan Chong Wei tidak akan diabaikan BAM yang sentiasa memantau serta menghubungi pemain tersebut setiap masa.

Menurut Tengku Mahaleel, pemain kelahiran Bukit Mertajam itu sudah berdepan dengan masalah fizikal ketika beraksi di Siri Super Premier Terbuka Denmark dan Siri Super Terbuka Perancis bulan lepas.

"Saya melihat sendiri melalui rakaman video bagaimana Chong Wei bergelut dengan masalah ini terutama di Perancis, dia begitu penat dan berdepan dengan masalah kecederaan.
"Bagaimanapun kami tidak membiarkan dia begitu sahaja, kami sentiasa menghubunginya, malah fisiologi juga menjelaskan keadaannya," katanya semalam.

Jelasnya, oleh kerana Chong Wei penat dan kecederaan lama di bahagian buku lali kaki kanan kembali menghantuinya, BAM telah membuat keputusan untuk tidak menghantarnya beraksi di Terbuka China yang sedang berlangsung di Shanghai.

"Mengenai Siri Super Terbuka Hong Kong pula kita harus melihat bagaimana keadaannya.
"Memang kami sentiasa berkomunikasi dengannya kerana hanya dia sahaja boleh memberitahu tahap dan situasi seluruh tubuhnya.

"Selepas itu barulah kita buat keputusan sama ada mahu menghantarnya ke mana-mana kejohanan.
"Dalam hal ini kita perlu melihat faktor usia seseorang pemain, yang tidak semestinya mampu beraksi dalam semua kejohanan,"kata beliau.

No comments:

Post a Comment